KULIM – Seorang pekerja kilang didapati mengambil kesempatan membawa pulang teman lelaki ke rumah sewanya semasa ketiadaan rakan serumah dalam kejadian di sebuah rumah teres dua tingkat di sini, kira-kira jam 12.55 tengah malam, Sabtu lalu.
Pegawai Penguat Kuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifudin Mat Saad berkata, rumah tersebut disewa oleh wanita berusia 24 tahun itu bersama tiga rakan lain, namun ketika serbuan dijalankan, penghuni lain tidak kelihatan.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati wanita yang berasal dari Kelantan itu baru empat bulan bekerja dan menyewa di rumah berkenaan serta telah mengenali teman lelakinya sejak empat tahun lalu semasa belajar di institusi yang sama.
“Teman lelakinya yang berusia 24 tahun berasal dari Pahang dan difahamkan akan menamatkan pengajian dalam tempoh lebih kurang dua bulan lagi.
“Kedua-dua mereka mengaku bukan pasangan suami isteri dan masih bujang,” katanya.
Menurut Anwar, ketika tangkapan dibuat, wanita itu memakai baju tidur labuh dengan kepala ditutup tuala manakala teman lelakinya bersembunyi di bilik sebelah yang mempunyai bilik air bersambung antara kedua-duanya.
“Kita difahamkan, teman lelakinya tiba di Stesen Kereta Api Tasek Gelugor sebelum dijemput pasangannya dan dibawa ke rumah sewa terbabit,” katanya.
Kedua-duanya disiasat mengikut Seksyen 25(a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah (EKJSK) 2014 kerana disyaki berkhalwat.