Shamsul Iskandar, Albert Tei direman 6 hari

Iklan
Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ahli perniagaan, Albert Tei ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah. Foto Bernama.

PUTRAJAYA - Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ahli perniagaan, Albert Tei ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Faith Muneerah Sofian selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Albert diwakili peguam Zaid Malek dan Mahajoth Singh, manakala Shamsul Iskandar diwakili peguam Yusmadi Yusoff.

Mahajoth berkata, pihaknya tidak dibenarkan bertemu Albert sebelum prosiding bermula.

Iklan

“Saya telah mengemukakan beberapa hujah utama termasuk dakwaan bahawa Albert sentiasa memberi kerjasama.

“Tiada isu tak beri kerjasama. Malah sudah ada persetujuan antara Albert dan SPRM bahawa beliau akan hadir pada 1 Disember. Semua orang tahu perkara itu, SPRM sendiri keluarkan kenyataan, namun mereka serbu rumahnya semalam (Jumaat) dan kata beliau tak bekerjasama," katanya.

Iklan

Menurutnya lagi, hanya selepas mahkamah membenarkan mereka berjumpa anak guam, barulah diketahui bahawa Albert disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

“Bayangkan sejak mereka hubungi dan serbu rumahnya, tiada siapa beritahu tuduhan atau Seksyen siasatan. Hanya hari ini kami dimaklumkan beliau disiasat bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009,” katanya.

Pada prosiding berkenaan, SPRM memohon tujuh hari reman terhadap kedua-dua individu itu, namun, mahkamah hanya membenarkan enam hari.

Sementara itu, Yusmadi berkata, anak guamnya direman enam hari selepas Majistret mempertimbangkan beberapa faktor termasuk keadaan kesihatan Shamsul Iskandar.

"Shamsul Iskandar sedang menjalani rawatan jantung, kencing manis dan darah tinggi menerima rawatan sewajarnya sepanjang berada dalam tahanan.

"Kita turut menyerahkan rekod perubatan dari Institut Jantung Negara (IJN) kepada mahkamah," katanya.

Yusmadi berkata, pihaknya berterima kasih atas kerjasama oleh SPRM termasuk mendapatkan rawatan untuk Shamsul Iskandar.

"Permohonan reman terhadap Shamsul Iskandar dilaksanakan secara berasingan, Shamsul Iskandar telah memberi kerjasama dalam proses siasatan," katanya.

Pada Jumaat media melaporkan SPRM menahan Shamsul Iskandar bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah melibatkan Albert Tei.

Selain Shamsul Iskandar, SPRM turut menahan ahli perniagaan, Albert Tei atau Tei Jiann Cheing, serta seorang wanita, Sofia Rini Buyong.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, kes tersebut melibatkan kepentingan awam dan siasatan dijalankan segera bagi mengelakkan sebarang manipulasi.

Sofia Rini ditahan pada 10.30 malam Khamis

ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM, wanita itu telah direman empat hari sehingga Isnin.

Azam menegaskan SPRM komited memastikan siasatan dijalankan secara profesional dan adil mengikut undang-undang.

Pegawai penyiasat telah diarahkan untuk melengkapkan kertas siasatan dalam tempoh seminggu sebelum dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara.

Jelasnya, semua pihak diminta bersabar dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan.