Mustang terkandas banjir, lelaki terlepas jadi saksi nikah

Iklan
Sebuah traktor menarik Ford Mustang GT yang terkandas dalam banjir di Jalan Sungai Panjang–Tanjong Malim berhampiran RTB Belia 2 di sini pada Jumaat

SABAK BERNAM – Seorang lelaki yang dalam perjalanan ke Kampung Gajah, Perak untuk menjadi saksi pernikahan anak saudaranya terkandas lebih tiga jam selepas kereta Ford Mustang GT dipandunya terkandas dalam banjir di Jalan Sungai Panjang–Tanjong Malim berhampiran Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Belia 2 di sini pada Jumaat.

Ahli keluarganya yang enggan dikenali memaklumkan, lelaki itu bersama keluarganya bertolak dari Kuala Lumpur dan sepatutnya tiba awal bagi menunaikan solat Jumaat di Kampung Gajah sebelum berangkat ke majlis pernikahan pada jam 5 petang.

Iklan
Iklan

"Dia dah separuh jalan, tapi bila sampai laluan itu air mula tinggi menyebabkan kenderaannya terkandas.

“Saya terus bergegas dari rumah untuk membantu, tapi tak dapat meredah laluan itu sebab air terlalu tinggi," katanya ketika ditemui pada Jumaat.

Iklan

Ujarnya, kenderaan lelaki itu hanya dapat ditarik keluar menggunakan traktor milik penduduk kampung.

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan terdapat tiga kenderaan yang cuba melalui laluan sama turut terkandas akibat paras air terlalu tinggi di laluan itu pada Jumaat.

Iklan

Seorang pemandu lori tunda, R Danabalan, 42, berkata, banjir semakin tinggi sehingga menyukarkannya untuk pulang ke rumahnya di Tanjong Malim.

“Pagi tadi saya lalu laluan ini untuk ke Sungai Besar bagi urusan Puspakom, tapi sekarang air makin dalam dan buat saya risau,” katanya.

Danabalan berkata, situasi berkenaan memaksanya menunggu sehingga keadaan benar-benar selamat memandangkan air masih tidak menunjukkan tanda-tanda surut.

“Kalau air terus naik, saya memang tak berani redah, mungkin kena tunggu sampai malam,” katanya.

Seorang penduduk, Maseri Mat Di, 55, berkata, terdapat ban pecah di bahagian kuala sungai yang berlaku sejak beberapa bulan lalu.

Menurutnya, laluan berkenaan digenangi air susulan paras Sungai Bernam meningkat akibat hujan berterusan sejak tiga hari lalu.

"Keadaan ini menyebabkan beberapa rumah penduduk terutama di kawasan rendah dilanda banjir," tambahnya.

Sebuah traktor menarik Ford Mustang GT yang terkandas dalam banjir di Jalan Sungai Panjang–Tanjong Malim berhampiran RTB Belia 2 di sini pada Jumaat.