MELAKA - Seorang penunggang motosikal di Melaka menjadi korban pertama tempias Ribut Tropika Senyar yang melanda bermula seawal tengah malam Jumaat hingga Sabtu.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohamad berkata, mangsa meninggal dunia selepas melanggar pokok tumbang di Jalan Selandar menghala ke Machap pada jam 6.57 pagi.
Menurutnya, berdasarkan statistik dari malam Jumaat sehingga jam 8 pagi ini, sebanyak 49 kes pokok tumbang direkodkan di lima negeri iaitu Perak, Selangor, Putrajaya, Melaka dan Negeri Sembilan.
“Kuala Lumpur juga berada dalam jajaran ribut ini namun setakat ini, tiada laporan pokok tumbang diterima.
“Kes kematian ini bukan secara langsung disebabkan Senyar, namun merupakan kejadian lanjutan akibat tempias ribut tersebut,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Integriti Peringkat JBPM di sebuah hotel di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kejadian tanah runtuh, runtuhan struktur dan banjir turut berlaku di Negeri Sembilan.
“Secara keseluruhan, Negeri Sembilan merekodkan impak paling teruk dengan 33 kes pokok tumbang, satu tanah runtuh, satu runtuhan struktur dan dua lokasi banjir.
“Negeri-negeri lain masih dalam keadaan stabil, namun pemantauan rapi diteruskan.
“Malah sehingga jam 2 pagi tadi, saya masih memantau situasi Senyar melalui bilik kawalan bagi memastikan tindak balas jabatan berada pada tahap terbaik,” ujarnya.
Beliau menjelaskan bahawa faktor tanah lembut susulan hujan sebelum ini menyebabkan risiko pokok tumbang dan tanah runtuh kekal tinggi meskipun kelajuan angin telah berkurangan daripada taufan kepada ribut.
Dalam pada itu, beliau berkata, arahan telah dikeluarkan kepada negeri-negeri yang dijangka menerima impak Senyar agar bersiap siaga sepenuhnya, termasuk memastikan semua kenderaan operasi tidak digunakan untuk tujuan selain tugas operasi supaya sentiasa berada dalam keadaan bersedia.
Beliau berkata, fokus utama JBPM ketika ini ialah memastikan semua laluan yang terjejas dapat digunakan semula dengan segera serta mengurangkan risiko kepada pengguna jalan raya.
“Saya juga ingin menasihati orang awam, memandangkan hari ini sudah memasuki hujung minggu dan cuti sekolah, supaya tidak mengunjungi kawasan berisiko seperti lokasi yang banyak pokok besar atau kawasan rekreasi berhampiran cerun.
“Kita sudah ingatkan supaya elak mandi-manda pada musim ini, tetapi masih ada yang berbuat demikian. Jadi saya harap semua pihak mengambil langkah keselamatan dan tidak mengambil risiko yang tidak perlu,” katanya.
End