SHAH ALAM - Operasi menyelamat kira-kira 300 rakyat Malaysia yang masih terkandas di Hatyai, Thailand susulan banjir teruk melanda kawasan itu diteruskan pada Jumaat.
Wisma Putra dalam kenyataannya memaklumkan, secara keseluruhan seramai 1,459 rakyat negara ini berjaya dipindahkan dari kawasan terjejas banjir itu ke Bukit Kayu Hitam, Kedah setakat Khamis.
Menurut kenyataan itu, kesemua mangsa yang berjaya dipindahkan tersebut melibatkan operasi di 25 hotel tempat penginapan mereka termasuk kumpulan pelajar dan pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM).
"Setakat semalam (Khamis) hanya dua hotel yang disasarkan masih tidak dapat diakses akibat paras air yang masih tinggi dan berdasarkan anggaran semasa kurang daripada 300 rakyat Malaysia masih terkandas dan operasi pemindahan diteruskan hari ini.
"Diharapkan operasi hari ini dapat menyelesaikan pemindahan baki rakyat Malaysia, namun usaha akan diteruskan sehingga dapat disahkan bahawa semua yang terjejas telah menerima bantuan dengan selamat," kata kenyataan itu.
Wisma Putra dalam kenyataan sama turut menggesa semua rakyat Malaysia yang belum mendaftar kehadiran atau lokasi mereka yang belum dikenal pasti oleh pasukan penyelamat diminta untuk segera menghubungi Konsulat Jeneral di Songkhla atau Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok bagi memastikan bantuan dapat diberikan tepat pada masanya.
Setiausaha Bahagian Komunikasi dan Diplomasi Awam, Kementerian Luar Negeri (KLN), Zamshari Shaharin dilapor berkata, lebih 6,000 rakyat Malaysia berjaya dibawa keluar dari kawasan terjejas banjir di Selatan Thailand manakala kira-kira 1,500 rakyat Malaysia masih terkandas, setakat pukul 3 petang pada Khamis.
Beliau bagaimanapun memaklumkan, angka itu sentiasa berubah mengikut maklumat baharu yang diterima dari semasa ke semasa susulan operasi menyelamat yang masih berjalan.
Menurutnya pada hari tersebut, operasi penyelamatan dan pemindahan giat dilaksanakan sejak pukul 7.30 pagi tadi dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan.