SHAH ALAM - Kekuatan ribut tropika Senyar dilaporkan semakin lemah selepas ia mendarat di pantai antara sempadan negeri Selangor dan Negeri Sembilan tengah malam tadi.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, ribut berkenaan diturun taraf kepada sistem cuaca tekanan rendah diramal akan terus bergerak ke arah timur menuju ke perairan Laut China Selatan.
"Walaupun sistem cuaca tersebut semakin melemah, aktiviti pembentukan awan hujan masih kekal aktif.
"Keadaan ini berpotensi menyebabkan hujan lebat berterusan, angin kencang serta laut bergelora di beberapa kawasan Semenanjung Malaysia terutamanya di Pahang dan Terengganu," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, corak cuaca tersebut dijangka akan berterusan sehingga Sabtu.
"MetMalaysia akan terus memantau keadaan ini dan akan mengemaskini maklumat dan amaran cuaca sekiranya terdapat perubahan signifikan," katanya.
Orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia dengan sentiasa peka kepada maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia melalui laman web www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi dan talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638