BACHOK - Polis sedang memburu tiga lelaki yang melakukan samun berkumpulan bersenjata di sebuah kedai runcit Kampung Tekor Ayer Merah, Kandis di sini pada Rabu.
Kejadian sekitar jam 10.30 malam itu berlaku apabila ketiga-tiga suspek masuk ke premis berkenaan dengan memakai penutup muka sebelum mengacukan senjata menyerupai pistol dan sebilah pisau ke arah pekerjanya.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, suspek kemudian meragut dua utas gelang emas milik mangsa serta mengambil beberapa barangan kedai antaranya rokok, roti dan wang tunai kira-kira RM600.
“Jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan sekitar RM3,800,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok.
Beliau turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu menghubungi Bilik Gerakan IPD Bachok di talian 09-778 8222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
“Kerjasama orang awam amat dihargai bagi memastikan keselamatan komuniti sentiasa terjamin,” katanya.