KEMEROSOTAN Liverpool terus menjadi perhatian selepas mereka dibelasah 1-4 oleh PSV Eindhoven dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) di Anfield pada awal pagi Khamis.
Ia adalah kekalahan keempat daripada enam aksi terakhir Liverpool di laman sendiri.
Kedudukan The Reds dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) juga merosot apabila berada di tangga ke-12 selepas dipintas musuh tradisi, Everton selain tergelincir dalam kelompok pertengahan carta Eropah.
Malah, tekanan semakin memuncak terhadap Arne Slot dengan beberapa nama berprofil tinggi dikatakan dalam senarai pendek bagi menggantikannya di Anfield.
Dalam perlawanan menentang PSV, Liverpool ketinggalan seawal minit keenam menerusi penalti Ivan Perisic dan gagal bangkit walaupun mencatat 27 percubaan.
Persembahan tidak konsisten, barisan pertahanan goyah dan kehilangan penjaga gol utama, Alisson kerana kecederaan terus menambah beban Slot.
Legenda kelab, Jamie Carragher menyuarakan kebimbangan terhadap kemerosotan tonggak utama terutamanya kapten, Virgil van Dijk dan Mohamed Salah.
“Van Dijk bukan seperti dahulu, Alisson kerap terlepas aksi dan Salah kelihatan hilang tenaga,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan reaksi pemain lain ketika pasukan menghadapi tekanan.
“Apabila pemimpin pasukan tidak berada di tahap terbaik, di mana yang lain?” soalnya.