PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merekod keterangan wanita yang berada dalam klip video perbualan melibatkan tohmahan berkaitan isu rasuah terhadap bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Wanita terbabit dikenali Sofia Rini Buyong hadir ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira jam 2 petang pada Khamis.
Menurut sumber, setakat jam 8 malam, proses mengambil keterangannya masih belum selesai.
“SPRM juga telah hubungi bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri dan dimaklumkan bahawa beliau tidak dapat hadir hari ini (Khamis) kerana berada di Sabah dan akan hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM pada petang Jumaat.
“Ahli perniagaan bernama Albert Tei pula memaklumkan mempunyai masalah tertentu yang tidak dapat dielakkan dan akan hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi dirakam keterangan pada Isnin (1 Disember),” katanya.
Tambah sumber, buat masa ini, hanya tiga individu berkenaan dipanggil bagi dirakam keterangan.
Jelasnya, SPRM akan melihat keperluan untuk memanggil saksi-saksi lain berdasarkan hasil siasatan.
“Jadi, mana-mana pihak yang dipanggil SPRM selepas ini perlu segera datang bagi membantu siasatan terutama apabila ia melibatkan kes serius seperti ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.
Pada Rabu, SPRM memaklumkan akan menyiasat tohmahan pemberian rasuah Albert Tei kepada Shamsul Iskandar.
Sebelum itu, kecoh dakwaan Shamsul Iskandar menerima wang daripada ahli perniagaan tersebut berkaitan lesen perlombongan.