SHAH ALAM - Seramai 19 penduduk Kampung Jawa, Klang di sini diarahkan mengosongkan tanah yang didiami serta-merta bagi memberi ruang kepada pembinaan projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) yang telah lama tertangguh.
Hakim Khadijah Idris memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Pentadbir Tanah Daerah Klang dan pemegang konsesi, WCE Sdn Bhd yang difailkan pada Rabu, untuk meminda perintah yang dikeluarkan empat hari lalu.
Pindaan membabitkan keputusan mahkamah yang memberikan masa kepada semua bekas pemilik tanah tersebut, mengosongkan rumah dalam masa 14 hari bermula 24 November.
Sementara itu, ketika dihubungi media, peguam, R Kengadharan yang mewakili penduduk diketuai S Subramaniam, membantah permohonan tersebut namun ia ditolak.
Isnin lalu, Sinar Harian melaporkan, Subramaniam gagal dalam saman terhadap Pentadbir Tanah Daerah Klang selaku defendan selepas hakim sama menolak permohonannya untuk mendapatkan deklarasi bahawa notis yang dikeluarkan oleh defendan bagi pengambilan hartanah di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 tidak boleh dikuatkuasakan.
Pada 3 November lalu, kerajaan Selangor telah meluluskan lanjutan masa selama dua minggu sehingga 24 November, supaya 19 penduduk kampung itu mengosongkan tanah bagi pembinaan jalan tersebut.
Lebuhraya itu meliputi jarak 233 kilometer menghubungkan Banting, Selangor ke Taiping, Perak dan ia direka sebagai alternatif kepada Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).
Sebelum ini, media melaporkan, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah mengesahkan penangguhan itu, dengan menyatakan bahawa surat rasmi penangguhan telah dikemukakan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Klang.
Keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan permintaan penduduk yang memohon diberi masa untuk menguruskan pemindahan.
Bagaimanapun, beliau berkata, projek itu perlu diteruskan tanpa kelewatan dan semua penduduk terlibat telah ditawarkan penempatan sementara melalui Skim SMART Sewa.
Katanya, mereka juga telah menerima pampasan sewajarnya daripada konsesi WCE.
Pada 3 November, Borhan mengumumkan tempoh tujuh hari untuk penduduk mengosongkan kawasan.
Keputusan itu dibuat selepas satu mesyuarat bersama penduduk dan agensi berkaitan.
Pihak yang terlibat termasuk syarikat WCE, Pejabat Tanah dan Galian Selangor serta pihak berkuasa tempatan.
Buat masa ini, Sinar Harian akan mendapatkan maklum balas daripada firma guaman Kumar Jaspal Quah & Aishah, serta peguam How Chee Hong yang mewakili WCE, yang hadir dalam prosiding terbabit.