PORT DICKSON - Zakat merupakan salah satu rukun Islam yang wajib ditunaikan oleh setiap Muslim yang memenuhi syarat-syarat tertentu.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) antara institusi pertahanan negara yang sentiasa mengingatkan anggotanya untuk melaksanakan rukun Islam tersebut.
Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Datuk Seri Dr Abdul Aziz Sheikh Ab Kadir berkata, berdasarkan rekod, seramai 5,108 anggota ATM telah menunaikan zakat melalui Skim Potongan Zakat Berjadual di MAINS dengan kutipan berjumlah RM202,000 sebulan iaitu bersamaan RM2 juta sehingga Oktober lalu.
“MAINS amat menghargai sokongan warga ATM yang sentiasa menunjukkan komitmen tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab berzakat melalui skim potongan gaji.
“Usaha ini menjadi contoh yang terbaik kepada agensi lain dalam menzahirkan semangat jihad ekonomi dan sosial Islam,” katanya ketika berucap dalam program ‘Perwira Berzakat, Negeri Berkat’ bersama MAINS di Akademi Tentera Darat di sini pada Selasa.
Hadir sama pada program itu ialah Timbalan Pengerusi MAINS, Jeneral (B) Tan Sri Mohd Shahrom Nordin dan Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera, Mejar Jeneral Datuk Mohd Rashidi Bujai.
Abdul Aziz berkata, kesedaran masyarakat terhadap kewajipan berzakat semakin meningkat apabila sebanyak 591 majikan di negeri ini telah melaksanakan potongan gaji zakat pendapatan dari Januari hingga September lalu.
“Jumlah kutipan terkumpul melebihi RM43.8 juta dan daripada jumlah itu, penyertaan jabatan-jabatan kerajaan termasuk agensi keselamatan dan ketenteraan merupakan antara penyumbang penting kepada peningkatan kutipan zakat negeri.
“Bagi bulan Januari hingga September 2025, MAINS telah berjaya menyalurkan agihan zakat berjumlah RM 133,646,076.70 melibatkan lapan kategori penerima,” katanya.
Pada program berkenaan, beliau turut menyerahkan Geran Kerohanian Wakalah MAINS kepada 10 penerima ATM dengan jumlah keseluruhan RM67,000.
Ujarnya, penyerahan itu merupakan manifestasi komitmen pihaknya dalam memperkukuhkan jaringan kerjasama strategik bersama ATM, khususnya dalam usaha memperkasa kebajikan, kerohanian serta kesejahteraan warga tentera di Negeri Sembilan.
Selain itu mengenai dana wakaf pula, Abdul Aziz berkata, sebanyak RM4.1 juta dana wakaf diperolehi dalam tempoh Januari hingga 24 November lepas.
“Kita juga mencadangkan satu mekanisme bayaran potongan wakaf kepada pihak ATM iaitu melalui Skim Potongan Wakaf Berjadual (potongan gaji),” katanya.
Mengulas mengenai program Perwira Berzakat, Negeri Berkat yang diadakan, beliau berkata, ia bukan sekadar satu kempen kesedaran tetapi satu manifestasi tanggungjawab sosial dan keagamaan yang menggabungkan dua institusi besar antara MAINS dan ATM.