Gesa pejuang Hamas dibenar keluar dari terowong Gaza

Iklan
Penduduk Palestin yang terpaksa berpindah kembali ke kem pelarian Jabalia yang musnah akibat peperangan di utara Jalur Gaza. - Foto AFP

GAZA - Kumpulan pejuang Hamas menggesa negara-negara perantara supaya menekan Israel untuk membenarkan laluan selamat kepada puluhan anggotanya yang terperangkap dalam rangkaian terowong di selatan Semenanjung Gaza.

Permintaan itu dibuat selepas rejim Israel mendakwa telah membunuh lebih 20 anggota Hamas sepanjang minggu lalu kerana cuba melarikan diri daripada infrastruktur keganasan bawah tanah di kawasan berkenaan, selain menahan lapan lagi.

Iklan
Iklan

"Kami menganggap (Israel) bertanggungjawab sepenuhnya atas nyawa pejuang kami dan menggesa perantara untuk mengambil tindakan segera dengan menekan (Israel) supaya membenarkan anak-anak kami pulang," menurut kenyataan terbaharu Hamas.

Ini merupakan kali pertama kumpulan pejuang itu secara terbuka mengakui bahawa ahlinya terperangkap dalam terowong.

Iklan

Terdahulu, media Israel melaporkan, selama berminggu-minggu sekitar 100 hingga 200 pejuang Hamas masih terperangkap dalam rangkaian terowong bawah bandar Rafah di kawasan Semenanjung Gaza yang dikawal tentera Israel.

Di bawah syarat gencatan senjata ditaja Amerika Syarikat (AS) berkuat kuasa pada 10 Oktober lepas, tentera Israel berundur daripada kawasan pantai wilayah Palestin ke satu kawasan yang dikenali sebagai 'Garisan Kuning', menandakan kawasan di bawah kawalan Israel.

Iklan

Sebelum ini, Duta Khas AS, Steve Witkoff ketika berucap dalam persidangan perniagaan di Miami, merujuk kepada 200 pejuang yang terperangkap di Rafah.

Beliau memaklumkan bahawa penyerahan diri mereka termasuk meletakkan senjata, boleh menjadi satu ujian kepada kedua-dua pihak dalam gencatan senjata Israel dan Hamas.

Bagaimanapun, Israel dilihat tidak bersedia untuk bertolak ansur berhubung pelepasan selamat anggota Hamas daripada terowong itu.

Seorang jurucakap Israel memberitahu AFP awal bulan ini bahawa Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu tidak akan membenarkan laluan selamat untuk 200 pejuang Hamas.

Beliau tetap dengan pendiriannya untuk melumpuhkan keupayaan ketenteraan Hamas dan Semenanjung Gaza.

Hamas pada Rabu mendakwa, Israel melanggar perjanjian gencatan senjata melalui tindakan mengejar, melupus dan menahan pejuang penentangan yang terkepung di terowong Rafah. - Agensi