Bekas Presiden Peru, Martin Vizcarra dijatuhi hukuman penjara 14 tahun

Iklan
Mahkamah Peru menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun ke atas Martin Vizcarra (tengah) kerana menerima rasuah semasa berkhidmat sebagai gabenor wilayah. - Foto: AFP

LIMA - Bekas Presiden Peru, Martin Vizcarra dijatuhi hukuman 14 tahun penjara pada Rabu atas kesalahan menerima rasuah, menurut pihak berkuasa tempatan, lapor Xinhua.

Vizcarra hadir pada prosiding di Mahkamah Jenayah Nasional Kolej Keempat, ketika Hakim Fernanda Ayasta mengumumkan hukuman terhadapnya berhubung dakwaan menerima sogokan semasa beliau berkhidmat sebagai gabenor wilayah Moquegua.

Iklan
Iklan

Kes itu membabitkan dua projek pembinaan, iaitu sistem pengairan Lomas de Ilo dan Hospital Moquegua, yang membawa kepada hukuman enam dan lapan tahun penjara.

Menurut hakim, Vizcarra menerima kira-kira 2.3 juta sol (sekitar AS$690,000) dalam bentuk sumbangan haram daripada syarikat Obrainsa dan Contratistas Generales SAT melalui komisen dan bayaran berperingkat.

Iklan

Selain hukuman penjara, mahkamah turut melarang beliau memegang jawatan awam selama sembilan tahun dan mengarahkan pembayaran ganti rugi sivil sebanyak 94,900 sol.

Selepas keputusan dibacakan, Vizcarra memuat naik kenyataan di media sosial, mendakwa dirinya menjadi mangsa"dendam” kerana mencabar apa yang digambarkannya sebagai"pakatan mafia”. (1 sol Peru = AS$0.30) - Bernama

Iklan