PASIR MAS - Polis mohon bantuan orang ramai menjejaki seorang wanita berusia 50 tahun dilaporkan hilang sejak pagi Selasa di Kampung Kubang Mas, Tendong di sini.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, Rokiah Hassan, dipercayai kali terakhir dilihat di Kampung Kubang Mas sebelum dilaporkan hilang kira-kira jam 8 pagi.
Iklan
Iklan
Menurut beliau, wanita berkenaan mempunyai ketinggian sekitar 150 sentimeter, berkulit sawo matang dan bertubuh gempal.
“Ketika kali terakhir dilihat, mangsa memakai baju putih, kain merah dan tudung hitam,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mazlan memberitahu, siasatan telah dijalankan dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai orang hilang (OH).
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mangsa untuk segera menghubungi Balai Polis Bunut Susu di talian 09-7183597 atau Bilik Gerakan IPD Pasir Mas bagi membantu siasatan.
“Kerjasama orang ramai amat diperlukan bagi memastikan mangsa dapat ditemui dalam keadaan selamat,” katanya.