Mahkamah tolak permohonan ex-parte Albert Tei terhadap Hajiji

Iklan
Albert Tei dan Hajiji Noor

KOTA KINABALU - Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada Rabu, menolak permohonan ex-parte Albert Tei untuk mendapatkan kebenaran memfailkan permohonan perintah komital (permohonan) terhadap Datuk Seri Hajiji Noor.

Hakim Mahkamah Sesyen, Zaini Fishir @ Fisal membuat keputusan tersebut selepas mendengar hujahan daripada Edward Paul yang mewakili Tei Jiann Chieng (Albert Tei) serta Peguam Besar Negeri Sabah (PBNS), Datuk Brenndon Keith Soh bersama Roland Alik, yang mewakili Ketua Menteri Sabah sementara.

Iklan
Iklan

Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenddon Keith Soh berkata, Albert Tei sebelum ini memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran dibawah Aturan 52, Kaedah 3 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 [A52 KKM 2012] untuk mendakwa Ketua Menteri Sabah sementara atas kesalahan menghina mahkamah.

"Albert mendakwa bahawa kuasa imigresen negeri telah digunakan untuk menghalang kemasukannya dan menghalangnya daripada menghadiri perbicaraan rasuahnya.

Iklan

"Pada 17 November lalu, pihak kami telah memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Sesyen untuk hadir dan membantu hakim dalam menentukan keputusan untuk memberikan kebenaran kepada permohonan Albert.

"Pada masa yang sama, Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Tuan Rustam Sanip turut dijemput untuk mengemukakan hujahan berhubung permohonan tersebut sebagai sokongan kepada hujahan PBNS," katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Iklan

Menurutnya, dalam membantah permohonan tersebut berdasarkan bantahan awal, pihaknya menghujahkan bahawa A52 KKM 2012 hanya terpakai kepada prosiding sivil dan bukan prosiding jenayah.

"Sebagaimana diperuntukkan di bawah Aturan 1 Kaedah 2(2) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012. Oleh itu, permohonan tersebut adalah tidak berasas kerana pergantungan Albert kepada A52 KKM 2012 adalah tersilap dan tidak selaras dengan undang-undang.

"Selanjutnya, berdasarkan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah, adalah menjadi kuasa Peguam Negara Persekutuan yang diwakili oleh TPR untuk mempunyai kawalan dan arahan terhadap semua pendakwaan dan prosiding jenayah.

"Oleh itu, Albert sebagai seorang tertuduh dalam prosiding jenayah di mahkamah lain bukanlah pihak yang layak untuk memulakan prosiding penghinaan mahkamah di mahkamah yang berasingan, kerana peranan tersebut adalah terletak pada TPR dalam prosiding jenayah tersebut," Katanya.

Brenddon berkata, selain itu, turut dihujahkan bahawa permohonan tersebut difailkan dengan niat yang tidak baik dan merupakan suatu penyalahgunaan proses mahkamah, yang sama sekali tidak mempunyai asas fakta atau undang-undang.

"Setelah menimbangkan hujahan-hujahan tersebut, Yang Arif Hakim Mahkamah Sesyen memutuskan untuk memihak kepada Ketua Menteri Sabah sementara berdasarkan bantahan awal dan menolak permohonan Albert.

"Keputusan ini mencerminkan penegasan jelas mahkamah bahawa bidang kuasa penghinaan tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya atau bagi tujuan yang tidak berkaitan dengan pentadbiran keadilan yang sewajarnya," katanya.