Pempengaruh didakwa guna gelaran Datuk palsu

Iklan
Samson (empat dari kanan) menunjukkan laporan yang dibuat di IPD Ampang Jaya pada Rabu.

AMPANG - Seorang pempengaruh wanita didakwa menggunakan gelaran Datuk palsu di media sosial sehingga menimbulkan kekeliruan orang ramai.

Presiden Majlis Datuk Dato’ Malaysia (MDDM), Datuk Samson David Maman berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan pempengaruh itu pada 17 November lalu.

Iklan
Iklan

“Wanita berkenaan memaparkan dirinya di media sosial sebagai penerima gelaran Datuk Panglima Wilayah (DPW). Semakan pihak MDDM mendapati gelaran itu palsu dan tidak wujud secara rasmi.

“Wanita itu kemudian menukar gelaran kepada Panglima Mahkota Wilayah (PMW), yang sah di Wilayah Persekutuan, tetapi namanya masih tidak terdapat dalam senarai penerima rasmi,” katanya pada sidang akhbar selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di sini pada Rabu.

Iklan

Samson berkata, MDDM menegaskan bahawa hanya Yang di-Pertuan Agong, Sultan dan Yang di-Pertua Negeri berkuasa menganugerahkan gelaran Datuk atau Dato’ di Malaysia mengikut Akta Kesalahan Berkaitan Anugerah 2017 (Akta 787).

“Dakwaan pempengaruh menerima gelaran melalui yayasan menyalahi undang-undang dan mencemar integriti sistem anugerah negara.

Iklan

“Susulan itu, MDDM membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap pempengaruh dan pihak yayasan terbabit,” katanya.