SPRM siasat isu rasuah kaitkan Albert Tei, Shamsul Iskandar

Iklan
SPRM akan memanggil Albert Tei (kanan) serta pihak yang ditohmah iaitu Shamsul Iskandar (kiri) dalam masa terdekat bagi memberi keterangan.

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat tohmahan pemberian rasuah seorang ahli perniagaan dikenali Albert Tei kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya akan memanggil Albert Tei serta pihak yang ditohmah iaitu Shamsul Iskandar dalam masa terdekat bagi memberi keterangan.

Iklan
Iklan

"Selain itu, SPRM juga akan memanggil semua pihak-pihak yang terlibat bagi tujuan mengumpul bukti-bukti yang diperlukan.

"Sehubungan itu, orang ramai diharap tidak membuat sebarang spekulasi mengenai isu ini dan memberi ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan bagi mengumpul keterangan serta bukti berkaitan tohmahan ini," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Sebelum itu, sebuah portal berita tempatan melaporkan bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli menyarankan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan bekas pembantunya, Shamsul Iskandar supaya menyaman ahli perniagaan, Albert Tei.

Ini susulan dakwaan bahawa Shamsul Iskandar menerima wang daripada ahli perniagaan itu berkaitan lesen perlombongan.

Iklan

Pada Selasa, Shamsul Iskandar meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Politik Perdana Menteri dengan mendakwa terdapat percubaan untuk menyerang beliau secara peribadi dan merosakkan imej kerajaan Madani.

Bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu mengangkat sumpah selaku Setiausaha Politik Perdana Menteri pada 23 Disember 2022.