USAHA kerajaan dalam membentangkan pindaan terperinci berhubung nafkah ibu bapa di Dewan Rakyat pada Mac tahun depan penting dalam memastikan tanggungjawab anak terhadap ibu bapa uzur dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan menjelang status Malaysia sebagai negara tua menjelang 2030.
Usaha itu dipelopori oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) melalui pindaan Undang-Undang Mahkamah Syariah.
Ia bertujuan memberikan bidang kuasa jelas kepada mahkamah syariah dalam menangani tuntutan berkaitan kebajikan ibu bapa yang tidak berupaya.
Langkah berkenaan bukan sahaja memperkukuh struktur perundangan sedia ada, malah menyediakan asas yang lebih sistematik bagi menangani isu nafkah yang semakin relevan dalam konteks demografi negara yang semakin menua.
Selain itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang menjalankan semakan menyeluruh terhadap Undang-Undang Keluarga Islam 1984, termasuk menilai keperluan untuk memperincikan peruntukan nafkah ibu bapa.
Pendekatan tersebut menunjukkan kesedaran kerajaan terhadap realiti semasa masyarakat Islam di Malaysia di mana institusi keluarga tradisional semakin menghadapi cabaran dari segi struktur sosioekonomi dan mobiliti generasi muda.
Manfaat utama pindaan itu dijangka dapat dirasai secara langsung oleh golongan ibu bapa, khususnya mereka yang uzur atau tidak berupaya.
Melalui undang-undang, hak golongan berkenaan untuk menerima nafkah daripada anak-anak kini diiktiraf dan boleh dituntut secara sah.
Selain itu, ia juga memberi isyarat positif kepada masyarakat bahawa tanggungjawab terhadap ibu bapa merupakan amanah yang perlu dipenuhi, sejajar dengan prinsip Islam dan nilai kemanusiaan universal.
Secara keseluruhan, inisiatif pindaan undang-undang ini bukan sahaja menepati kehendak syariat Islam, tetapi juga mencerminkan kesedaran kerajaan terhadap keperluan untuk menyesuaikan perundangan dengan perubahan sosial dan demografi.
Langkah itu diharapkan dapat membentuk sistem sokongan yang lebih efektif bagi golongan ibu bapa, seterusnya memperkukuh hubungan keluarga dan kesejahteraan masyarakat Islam di negara ini.