Pemilik kedai runcit didenda RM8,000, jual rokok bawah harga minimum

Iklan
Barangan kes yang dirampas dan disita dibawa ke mahkamah bagi proses pendakwaan.

​KEMAMAN – Seorang peniaga kedai runcit didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah menjual rokok di bawah harga jualan minimum.

Orang Kena Saman (OKS), Lee Jia Hua, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd pada Isnin.

Iklan
Iklan

​Mengikut pertuduhan, Jia Hua melalui pekerjanya didakwa telah menjual sekotak rokok pada harga yang menyalahi harga jualan minimum RM12 sekotak.

​Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 10.30 pagi di premisnya yang terletak di Kerteh, di sini pada 15 April lalu.

Iklan

Dengan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(4) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 (5)(a)(1) akta yang sama iaitu hukuman denda maksimum sehingga RM20,000 atau penjara maksimum satu tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

​Hakim kemudian memerintahkan OKS didenda sebanyak RM8,000 atau berdepan hukuman penjara lima bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Iklan

​Pendakwaan kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa, Mohd Nasir Mohd Shaari dan Alias Awang Kecik.

​Terdahulu, lapan anggota penguatkuasaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan serbuan ke atas premis tersebut selepas melakukan risikan dan penyamaran.

​Hasil serbuan sebanyak 180 kotak peket rokok pelbagai jenama bernilai RM1,266.50 telah disita.