Peniaga PKS makin sukar bertahan!

Iklan
Peniaga PKS hilang sumber pendapatan.

INI detik sukar bagi semua. Walaupun pahit untuk kita telan, namun hakikatnya wabak pandemik Covid-19 bukan sahaja telah meragut ribuan nyawa, bahkan sedang menggugat ekonomi dunia tidak terkecuali Malaysia.

Tatkala, ramai yang terfokus kepada industri penerbangan dan perhotelan, namun apabila kerajaan memulakan Perintah Kawalan Pergerakan impaknya kini mula dirasai pula oleh usahawan-usahawan dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Iklan
Iklan

Sektor PKS ini secara kolektifnya merupakan majikan terbesar di negara kita dengan menyediakan peluang pekerjaan kepada hampir 10 juta pekerja dan kolektif pinjaman bank lebih RM300 bilion.

Namun, kini banyak di antara mereka ibarat pepatah tidak ubah seperti nyawa-nyawa ikan, bahkan jika tanpa bantuan sewajarnya ramai yang dijangka gulung tikar.

Iklan

Presiden Kebangsaan Persatuan PKS Malaysia, Datuk Michael Kang Hua Keong tanpa berselindung mengakui, sektor PKS lebih merana pada zaman kemelesetan angkara Covid-19 berbanding kegawatan ekonomi pada tahun 1998.

Katanya, pada tahun 1998 walaupun ekonomi agak teruk tetapi peniaga masih boleh berniaga dan mempunyai sumber pendapatan, namun kali ini pendapatan kebanyakan peniaga kosong.

Iklan

"Memang kita tahu, nyawa lagi penting, tetapi dalam keadaan sekarang banyak aduan yang kami dapat, ramai ahli yang mengeluh, pening kepala dan hampir putus asa.

"Pendapatan kosong bagaimana mahu membayar gaji pekerja, sewa premis kepada pihak kompleks beli-belah dan macam-macam lagi.

"Kalau satu syarikat ada 10 pekerja, dia wajib bayar gaji pekerja, kurang-kurang RM20,000 hingga ke RM30,000. Kalau sewa premis pula RM10,000, tak kurang dia kena berdepan kerugian RM50,000,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Pembuangan pekerjaTambah beliau, rata-rata usahawan PKS di bawah persatuan itu kini terpaksa bertahan memandangkan kerajaan tidak membenarkan pembuangan pekerja pada masa ini.

Bagaimanapun Michael mendedahkan, menjelang sebulan ini dengan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan akan dilanjutkan, beliau menjangka 20 peratus peniaga PKS dijangka bankrap kerana tidak dapat menyerap operasi tanpa sumber pendapatan.

Farhana (tiga dari kiri) terpaksa menutup operasi kilang dan ladang Kraypek International disebabkan oleh wabak Covid-19.

"Kalau dalam sebulan ini tidak ada bantuan kepada sektor PKS untuk mengharungi detik sukar angkara Covid-19, saya jangka 20 peratus peniaga PKS akan gulung tikar.

"Buat masa ini, memang belum ada pembuangan pekerja, tetapi saya khuatir dengan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, lebih 10,000 pekerja terpaksa dibuang kerana majikan sudah tidak menanggung kerugian,” katanya.

Jelas Michael, setakat ini sektor PKS berterima kasih kepada kerajaan dengan pelaksanaan moratorium pinjaman bank tetapi sekiranya peniaga tiada sumber pendapatan bagaimana hendak bayar pinjaman kemudian hari nanti.

"Kita amat risaukan mengenai kos gaji, sewa kedai, bil air, bil elektrik dan macam-macam lagi. Kalau kerajaan dapat bantu dari segi gaji, dapat bayar 50 peratus gaji pekerja atau 50 peratus sewa kedai, itu sangat melegakan kami,” katanya yang berdebar menanti pengumuman kerajaan hari ini untuk sektor PKS.

Dalam pada itu, seorang usahawan muda, Nurul Farhana Abdullah, 32, mengakui, syarikatnya juga tidak dapat mengelak daripada menanggung kerugian pada musim wabak Covid-19.

Pengarah syarikat Kraypek International Sdn Bhd itu berkata, pihaknya terpaksa menutup operasi di ladang ubi kayu dan kilang di Bukit Gambir, Tangkak, Johor dan pejabat di Bangi sejak sembilan hari lalu selepas arahan kawalan pergerakan.

"Bisnes kerepek ubi kayu ini diusahakan keluarga sejak lebih 10 tahun. Tetapi sejak pandemik Covid-19 melanda, cabaran paling besar untuk bisnes kami ialah dari segi pergerakan.

"Jadi pekerja kami tidak boleh meneruskan aktiviti di ladang, di kilang dan juga pemasaran,” katanya yang mengakui kini menanggung kerugian lebih RM15,000.

Bagaimanapun, jelas Farhana, sekiranya musim Covid-19 ini semakin berpanjangan ia bakal menjejaskan kualiti ubi kayu di ladang.

"Ubi kayu ini ada tempoh kualitinya, waktu itu paling baik untuk dituai kerana isinya manis. Kalau dibiar terlalu lama macam rambutan, ia jadi terlalu ranum, boleh dimakan tetapi kurang sedapnya,” kata beliau.

‘13 tahun berniaga, ini paling sukar’

Di hujung corong telefon, suaranya sedikit tersekat-sekat. Memang ada tanda-tanda resah dan kerisauan yang bermain-main dalam fikiran Arif Shobri Awang, 43.

Selama lebih 13 tahun menjalankan perniagaan bengkel kereta dengan jatuh bangun dan untung rugi, tidak pernah tauke kepada syarikat Rangkaian Niaga Servis itu berdepan dengan kesukaran seteruk ini.

Katanya, pandemik Covid-19 menyebabkan dia terpaksa menutup operasi bengkelnya walaupun kerajaan memberi kebenaran untuk beroperasi pada waktu terhad.

Namun, katanya, beliau tidak boleh mengambil risiko kesihatan terhadap 15 pekerjanya, malah berdasarkan maklumat rakan lain yang tetap berniaga hampir tiada pelanggan yang datang sepanjang tempoh kawalan pergerakan.

Gambar kecil: Arif Shobri

Menurut Arif, apabila bengkel tidak beroperasi maka tiada sumber pendapatan untuk syarikat.

"Saya kerugian RM60,000 sebulan sebab saya masih perlu membayar sewa kedai kepada pemilik bangunan, gaji pekerja, bayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, bil air dan elektrik.

"Sebulan ini saya masih mampu guna dana kecemasan, kalau masuk bulan depan saya sendiri tak pasti macam mana nak meneruskan bisnes ini,” katanya meluahkan apa yang terbungkam di hati.

Katanya jujur, kini dia hanya mempunyai dua pilihan untuk meneruskan survival perniagaannya iaitu sama ada memotong 50 peratus gaji pekerja seperti yang dilaksanakan syarikat penerbangan atau menamatkan perkhidmatan mereka sebelum membuat pengambilan semula selepas semuanya pulih.