SHAH ALAM - Pejabat Daerah dan Tanah di seluruh Selangor akan menyediakan pengangkutan percuma bagi membawa calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari pusat pemindahan sementara (PPS) ke pusat peperiksaan masing-masing berikutan banjir melanda lima daerah di negeri itu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah itu bagi memastikan 221 calon SPM yang terkesan tidak tercicir sepanjang tempoh peperiksaan bermula pada Isnin.
Amirudin berkata, sebagai bantuan awal, kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan RM500 kepada 750 keluarga yang disahkan berdaftar di daerah terkesan.
"Yayasan MBI akan memberikan bantuan segera kepada calon SPM yang kehilangan peralatan menulis dan digital akibat banjir bagi memastikan mereka dapat meneruskan peperiksaan dengan lebih selesa," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Amirudin memberitahu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) turut mengadakan Mesyuarat Khas pada pagi Selasa susulan banjir melanda di Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Langat, Petaling dan Klang.
“Sehingga jam 11.30 pagi ini, seramai 2,784 mangsa ditempatkan di 21 PPS di lima daerah.
"Peningkatan paras air banyak dipengaruhi taburan hujan luar jangka yang turut memberi kesan kepada lapan negeri lain di seluruh negara,” katanya.
Amirudin memaklumkan, usaha tebatan banjir di beberapa kawasan tumpuan turut dipercepatkan dan akan diperincikan petang ini oleh Exco Kemajuan Infrastruktur, Datuk Ir Izham Hashim.
"Di saat mencabar ini, saya mendoakan keselamatan seluruh rakyat Selangor khususnya mereka yang berada di PPS.
"Terima kasih kepada semua pasukan petugas yang bertungkus-lumus menyalurkan bantuan segera kepada rakyat," tambah beliau.