Wanita ditemui hidup dalam keranda sebelum upacara pembakaran mayat

Iklan
Pasukan penyelamat kecemasan membawa seorang wanita warga emas yang ditemui masih hidup selepas dijadualkan untuk upacara pembakaran mayat di Kuil Wat Rat Prakhong Tham, wilayah Nonthaburi, Thailand. Foto: Kuil Wat Rat Prakhong Tham

NONTHABURI – Kakitangan di sebuah kuil di Thailand gempar apabila seorang wanita yang dibawa untuk upacara pembakaran mayat didapati masih hidup selepas kedengaran bunyi ketukan dari dalam keranda.

Kejadian itu berlaku di Wat Rat Prakhong Tham, sebuah kuil Buddha di wilayah Nonthaburi, berhampiran Bangkok.

Iklan
Iklan

Pengurus hal ehwal umum dan kewangan kuil, Pairat Soodthoop berkata, wanita berusia 65 tahun berkenaan dibawa dari wilayah Phitsanulok oleh abangnya untuk proses pembakaran mayat.

Menurutnya, sebelum keranda dibuka, kakitangan kuil terdengar ketukan perlahan dari dalam.

Iklan

"Saya terkejut dan terus minta mereka buka keranda. Semua orang terkesima. Dia buka mata sedikit dan mengetuk bahagian keranda.

"Nampaknya, wanita terbabit sudah lama mengetuk," katanya kepada The Associated Press.

Iklan

Pairat berkata, abang wanita itu memaklumkan adiknya terlantar sakit selama dua tahun dan baru-baru ini menjadi tidak responsif hingga disangkakan sudah meninggal dunia dua hari lalu.

Abangnya kemudian meletakkan wanita itu di dalam keranda sebelum memandu sejauh 500 kilometer ke sebuah hospital di Bangkok kerana adiknya pernah menyatakan hasrat untuk mendermakan organ namun ditolak hospital kerana tiada sijil kematian.

Lelaki itu kemudian ke kuil tersebut yang menawarkan perkhidmatan membakar mayat percuma, namun turut dimaklumkan bahawa proses itu tidak boleh dijalankan tanpa dokumen berkenaan.

Ketika Pairat sedang menerangkan cara mendapatkan sijil kematian, mereka terdengar ketukan dari keranda sebelum mendapati wanita itu masih bernafas.

Wanita berkenaan kemudian dihantar ke hospital berhampiran untuk rawatan.

Pairat turut memaklumkan bahawa ketua sami kuil tersebut bersetuju menanggung semua kos perubatan wanita berkenaan.