SEPANG - [DIKEMAS KINI] Seorang penjenayah mati ditembak selepas berbalas tembakan dengan polis di Batu 8, Jalan Banting - Dengkil di sini pada Isnin.
Kejadian berlaku kira-kira jam 8.10 malam apabila sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sedang menjalankan operasi mengesan dan mencegah kejadian samun di sekitar Banting, Dengkil dan Sepang.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kenderaan pasukan polis telah terserempak dengan sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi dinaiki seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, suspek tiba-tiba telah melepaskan tembakan dari dalam kenderaan ke arah anggota polis.
"Pasukan polis telah membalas tembakan sehingga tiada ancaman keselamatan.
"Suspek warga tempatan telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, pemeriksaan dalam kenderaan suspek menemui sepucuk senjata api jenis colt 45, tujuh paket lut sinar mengandungi serbuk kristal disyaki dadah dan tiga butir peluru jenama kynoch kaliber.45.
Tegas beliau, siasatan lanjut polis masih dijalankan.