SHAH ALAM – Kerajaan Selangor sedang memantau perkembangan paras air di semua empangan negeri susulan hujan lebat yang melanda sejak Ahad, bagi memastikan keadaan terkawal dan mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, setakat jam 1.30 petang Isnin, paras air masih dalam keadaan stabil.
Iklan
Iklan
“Saya sedang menunggu laporan penuh mengenai situasi banjir di beberapa kawasan di negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas Pelancaran Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Selangor 2025–2035 di sini pada Isnin.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan semua exco dan pegawai kerajaan negeri turun menyantuni mangsa yang terjejas selepas tamat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Kerajaan negeri dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai langkah susulan menghadapi banjir petang ini, susulan ramalan hujan berterusan sehingga esok.
Terdahulu, media melaporkan lima pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di empat daerah dengan menempatkan 110 mangsa daripada 30 keluarga.
PPS yang dibuka ialah di Dewan Seri Sekinchan dan Dewan Seri Bernam (Sabak Bernam), Pusat Perkhidmatan JKKK Kampung Jaya Setia Bestari Jaya, Sekolah Kebangsaan Sungai Serai (Hulu Langat) dan Masjid Al-Falah Kampung Budiman (Shah Alam).