CHANGLUN – Seorang lelaki maut selepas kenderaan dipandunya terjunam ke dalam parit berhampiran Taman Jelutong di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 3.07 pagi.
Menurutnya, unit kereta peronda polis (MPV) tiba di lokasi dan mendapati sebuah kereta tenggelam dalam parit berkenaan.
“Pasukan bomba yang tiba selepas itu terus mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR). Anggota penyelamat mengalami kesukaran berikutan arus deras serta keadaan yang berbahaya.
“Kereta jenis Nissan Almera yang dinaiki mangsa berjaya dinaikkan dan mangsa ditemui di tempat duduk pemandu serta disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Menurut Mohd Radzi, mangsa dikenal pasti sebagai Muhammad Faiz Zainal, 36, beralamat di Kampung Padang Satu, Bukit Kayu Hitam.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Jitra untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.