Banjir: Calon SPM terpaksa tinggalkan buku, kelengkapan peperiksaan

Iklan
Nik Mohd Idham (kiri) terpaksa mengulangkaji melalui telefon apabila terpaksa meninggalkan buku, kelengkapan peperiksaan di rumah untuk menyelamatkan diri ke PPS SK Tapang, Kota Bharu selepas air naik terlalu cepat sehingga mencecah 0.6 meter pada Sabtu.

KOTA BHARU - Calon Sijil Pelajar Malaysia (SPM) terpaksa meninggalkan buku, kelengkapan peperiksaan di rumah untuk menyelamatkan diri ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tapang di sini, selepas air naik terlalu cepat sehingga mencecah 0.6 meter pada Sabtu.

Nik Mohd Idham Nik Abdul Rahim, 17, pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji berkata, dia hanya tinggal sehelai sepinggang kerana banjir kali ini berlaku di luar kawalan.

Iklan
Iklan

"Saya tidak sempat buat persiapan dan tidak sangka akan menjadi mangsa banjir, kerana sebelum ini keadaan tidak seteruk sekarang.

"Sepanjang di PPS saya hanya mampu mengulangkaji menggunakan telefon, mujurlah di sini ada bekalan elektrik serta pencapaian internet laju," katanya kepada pemberita ketika ditemui di PPS SK Tapang.

Iklan

Menurut calon SPM itu, dia kini berdebar memikirkan akan menduduki peperiksaan pada Selasa.

Ujarnya, dia terpaksa mencari sudut yang tenang serta tanpa gangguan di PPS untuk mengulangkaji.

Iklan

"Baju serta kelengkapan lain berada dalam keadaan baik, cuma kasut basah.

"Lebih membimbangkan lagi apabila memikirkan laluan ke sekolah juga dinaiki air, harap pada hari peperiksaan cuaca semakin baik," katanya.

Bagi Mohd Faris Aiman Mohd Azri, 17, calon SPM di SMK Tanjong Mas di sini memberitahu, dia juga terpaksa mengulangkaji melalui telefon.

Mohd Faris Aiman

Ujarnya, guru telah menghantar nota melalui WhatsApp dan ia banyak membantu sepanjang berada di PPS.

"Walaupun ulangkaji guna telefon dan buku tidak sama tapi ia dapat mengurangkan rasa berdebar untuk menduduki peperiksaan esok (Selasa).

"Banjir kali ini air naik terlalu cepat, saya tidak sempat untuk bawa buku-buku bersama," katanya yang hanya sehelai sepinggang semasa menyelamatkan diri ke PPS SK Tapang di sini.