KOTA KINABALU - Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau, Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi akan mewujudkan majlis komuniti di setiap kampung dan taman perumahan di DUN berkenaan.
Mohamed Razali berkata, pihaknya juga akan mewujudkan sistem talian aduan dan sistem digital agar memudahkan aduan.
Menurutnya, ketika ini sistem aduan masih menggunakan kaedah lama dan masyarakat kurang ruang meluahkan masalah.
"Kita faham masalah ini memang timbul. Seperti yang saya sebut, pengurusan di kampung akan distruktur semula, manakala di taman-taman pula kita perlu bentuk satu majlis.
"Perlu ada satu badan yang menjadi perantara antara pemimpin dan residen yang tinggal di taman.
"Sebab kita dengar banyak keluhan, kena ada solusi, apa yang kita mahu buat adalah satu pembentukan dan perkara ini akan dibawa secara terancang," katanya dalam sidang media sempena Ramah Mesra Bersama Penduduk Kingfisher, di sini pada Ahad.
Menurut Mohamed Razali, selepas itu perkara yang paling penting adalah pihanya akan mengadakan sesi dialog bersama rakyat.
Itu antara manifesto Mohamed Razali dan berharap diberikan peluang memimpin DUN Darau.