Banjir: Rakyat Malaysia mula pulang dari Hatyai

Iklan
Kesibukan di laluan masuk negara ini ketara berbanding laluan ke negara jiran yang dilihat lengang pada Ahad.

BUKIT KAYU HITAM - Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam pada Ahad sibuk dengan pergerakan kenderaan yang memasuki Malaysia, didorong oleh kepulangan rakyat Malaysia yang terkandas akibat banjir di Hatyai, Thailand.

Kesibukan di laluan masuk negara ini ketara berbanding laluan ke negara jiran yang dilihat lengang, susulan ramai pelancong menangguhkan atau membatalkan perjalanan mereka ke negara jiran.

Iklan
Iklan

Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, mengesahkan situasi tersebut, menyatakan rakyat Malaysia kini mula bergerak pulang menerusi sempadan.

"Bilangan pelancong yang ke Thailand telah menurun daripada 9,950 orang direkodkan pada pada Jumaat, kepada hanya 5,812 orang pada Sabtu.

Iklan

"Penurunan drastik ini menunjukkan ramai yang berpatah balik atau menangguhkan perjalanan sebaik mengetahui keadaan banjir yang teruk di Hatyai," katanya pada sidang akhbar semasa ditemui di ICQS Bukit Kayu Hitam pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar menangguhkan dahulu perjalanan ke Hatyai dalam tempoh dua minggu ini sehingga keadaan banjir di sana pulih sepenuhnya.

Iklan

Mohd Nasaruddin juga memaklumkan bahawa setakat ini tiada laporan diterima mengenai kerosakan pasport atau pas sempadan melibatkan rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir tersebut.