Awie jadi Duta Alam Sekitar Perak

Iklan
Awie (kanan) menerima watikah pelantikan sebagai Duta Alam Sekitar Perak daripada Ahmad Zahid sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Peringkat Negeri Perak 2025 di Kompleks UMNO Bagan Datuk pada Ahad.

SELEBRITI terkenal, Datuk Ahmad Azhar Othman atau Awie diumumkan sebagai Duta Alam Sekitar sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Peringkat Negeri Perak 2025 di Kompleks UMNO Bagan Datuk di sini pada Ahad.

Pelantikan itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyerahkan watikah kepada penyanyi rock berusia 57 tahun itu pada majlis berkenaan.

Iklan
Iklan

Awie dalam ucapan ringkasnya selepas menerima watikah itu menzahirkan penghargaan atas kepercayaan diberikan kepadanya dan bertekad membantu usaha memelihara alam sekitar melalui kesedaran awam serta pengaruhnya sebagai figura seni.

"Saya berterima kasih atas pelantikan ini dan akan cuba memainkan peranan dalam apa jua usaha menjaga kelestarian alam," katanya.

Iklan

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam ucapan perasmiannya memuji komitmen Awie yang sanggup memberi sumbangan kepada agenda hijau negeri dan negara walaupun berada di puncak populariti.

Menurutnya, usaha menjaga alam sekitar tidak boleh hanya dipertanggungjawabkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS), sebaliknya memerlukan penglibatan menyeluruh semua pihak.

Iklan

“Hari ini, bumi yang kita diami sedang menanggung tekanan yang kian hebat.

"Menurut laporan JAS 2024, Malaysia menghasilkan hampir 38,000 tan sisa pepejal setiap hari atau 1.17 kilogram bagi setiap seorang,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu turut memberi kesan terhadap kualiti air di negara ini apabila 27 daripada 672 sungai utama direkodkan sebagai tercemar manakala 170 lagi berada pada tahap separa tercemar.

Jelasnya, pendekatan Malaysia Madani menuntut keseimbangan antara ekonomi dan ekologi serta antara pembangunan dan kelestarian bagi memastikan masa depan negara terjamin.

Sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Ahmad Zahid menegaskan bahawa setiap dasar kerajaan, termasuk pembangunan luar bandar, turut mengambil kira kelestarian alam sekitar.