KUALA KANGSAR - Belanjawan Perak pada 25 November ini dijangka menyaksikan beberapa pengumuman penting berkaitan pembangunan sosial dan pengentasan kemiskinan.
Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, kerajaan negeri akan memberi tumpuan khusus kepada kebajikan rakyat melalui pelbagai inisiatif sosial dan bantuan kepada golongan yang memerlukan.
“Saya yakin Menteri Besar sangat cakna hal rakyat, termasuk bagaimana kita mahu mengangkat mereka dari sudut sosial, kemiskinan dan pembangunan masyarakat.
"Insya-ALLAH, ada perkara baik untuk rakyat Perak yang akan diumumkan nanti,” katanya selepas merasmikan Program Remaja Hebat Mega Peringkat Negeri Perak di Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Ulu Kenas pada Ahad.
Beliau berkata, dalam belanjawan kali ini, pihaknya telah mengemukakan permohonan peruntukan tambahan kepada kerajaan negeri bagi program kebajikan, bantuan sosial dan inisiatif untuk warga emas memandangkan Perak kini berstatus negeri menua.
“Ada permohonan tambahan bajet, antaranya tumpuan kepada warga emas, keusahawanan serta pelbagai bentuk bantuan berkaitan kesejahteraan rakyat. Itu antara yang berada dalam portfolio saya,” katanya.
Mengulas mengenai penganjuran Program Remaja Hebat Mega, Salbiah berkata, program berkenaan penting dalam usaha membentuk jati diri remaja susulan peningkatan isu sosial yang melibatkan golongan tersebut.
Katanya, pelaksanaan program seumpama itu akan diteruskan tahun hadapan sebagai komitmen kerajaan negeri membendung gejala sosial dalam kalangan generasi muda.
“Mungkin kita tidak mampu selesaikan semua masalah, tetapi setidak-tidaknya inisiatif seperti ini penting bagi pembentukan nilai dalam diri anak-anak. Jika nilai tidak dibentuk, maka kita akan terus mendengar lebih banyak masalah berkaitan remaja,” katanya.
Program anjuran Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Perak (Wanita Perak) bersama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Perak itu melibatkan 3,000 pelajar daripada 12 sekolah melalui lima siri pelaksanaan mengikut zon sepanjang tahun ini.
Selain modul Remaja Hebat, program turut merangkumi Perisai Gadis yang dilaksanakan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sekolah-sekolah terpilih.