Tayar pecah alasan lelaki pandu SUV secara berbahaya

Iklan
Video memaparkan sebuah SUV dipandu secara berbahaya menghala ke arah Taman Naga Emas tular di media sosial.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang memandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) secara berbahaya di Lebuhraya Sungai Besi mendakwa tindakannya berpunca daripada tayar pecah selepas terlanggar lubang.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya mengesan video berdurasi satu minit yang dimuat naik di media sosial pada Sabtu memaparkan kenderaan jenis Range Rover Velar itu dipandu dalam keadaan berbahaya menghala ke arah Taman Naga Emas.

Iklan
Iklan

"Kenderaan berkenaan dikesan bergerak dengan tayar belakang sebelah kanan dalam keadaan pecah serta hancur dan bergerak di atas jalan pada jam 8 pagi.

"Perbuatan berbahaya pemandu itu turut dirakam seorang penunggang motosikal, sebelum kenderaan itu berhenti di kawasan persimpangan lampu isyarat di Jalan Kuchai Maju," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Iklan

Video memaparkan sebuah SUV dipandu secara berbahaya menghala ke arah Taman Naga Emas tular di media sosial.

Mohd Zamzuri berkata, pemandu kenderaan berusia 32 tahun itu tampil ke balai polis trafik jam 10.30 pagi pada Ahad.

Iklan

"Alasan lelaki itu memandu dalam keadaan berbahaya kerana tayar pecah selepas terlanggar lubang dan memandangkan kediamannya dekat, dia meneruskan perjalanan untuk pulang ke rumah," katanya.

Beliau berkata, proses siasatan sedang dijalankan termasuk ujian saringan air kencing dan nafas (EBA) akan dilakukan terhadap individu tersebut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

"Saksi yang melihat kejadian itu diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," ujarnya.