Liverpool terus merudum, Newcastle jejaskan misi City

Iklan
Reaksi pemain Liverpool, Mohamed Salah ketika perlawanan bertemu Forest. FOTO: AFP

MUSIM suram Liverpool terus meruncing apabila dikejutkan dengan kekalahan memalukan 0-3 di laman sendiri kepada Nottingham Forest, manakala dua jaringan Harvey Barnes memastikan Newcastle menewaskan Manchester City 2-1 dalam aksi penuh kontroversi di St James’ Park, awal pagi tadi.

Liverpool yang bergelut mencari rentak musim ini sekali lagi dimalukan di Anfield apabila benteng longgar mereka dihukum Murillo pada minit ke-33 selepas gagal mengeluarkan bola daripada situasi sepakan sudut.

Iklan
Iklan

Pengendali The Reds, Arne Slot jelas berang dengan jaringan itu yang menurutnya sepatutnya dibatalkan susulan Dan Ndoye didakwa menghalang penjaga gol, Alisson Becker yang menjadi insiden hampir sama menyebabkan jaringan Virgil van Dijk dibatalkan ketika tewas 0-3 kepada City sebelum rehat antarabangsa.

Forest menggandakan kedudukan seawal minit ke-46 menerusi sentuhan tenang Nicolo Savona hasil hantaran Neco Williams, sebelum Morgan Gibbs-White melengkapkan malam malang Liverpool dengan gol ketiga pada minit ke-78.

Iklan

Kekalahan ini menyaksikan Liverpool tumpas lapan daripada 11 perlawanan terakhir dalam semua kejohanan, termasuk enam daripada tujuh aksi Liga Perdana. Ia juga kali pertama sejak 1965 mereka tewas dua perlawanan liga berturut-turut dengan jurang tiga gol.

Pembelian mega The Reds bernilai lebih £400 juta jelas belum membuahkan hasil, termasuk perpindahan rekod Britain Alexander Isak dari Newcastle. Penyerang Sweden itu masih gagal menjaringkan sebarang gol liga dan dikeluarkan pada babak kedua.

Iklan

“Ini satu lagi kekecewaan besar. Kami bermula baik, tetapi selepas gol pertama, kami hilang kawalan. Jika kami bagus atau teruk, tanggungjawab tetap pada saya,” kata Slot.

Dalam pada itu, di St James’ Park, Barnes menjadi watak penting Newcastle apabila meledak gol pembukaan pada minit ke-63 sebelum Ruben Dias menyamakan kedudukan lima minit kemudian.

Namun hanya dua minit selepas itu, Barnes kembali menghukum City menerusi rembatan kencang yang mengundang perdebatan panjang VAR berhubung kedudukan Bruno Guimaraes yang terlibat dalam gerakan jaringan tersebut.

Pep Guardiola turut kecewa selepas tuntutan sepakan penalti Phil Foden ditolak, selain meluru ke tengah padang sebaik tamat perlawanan untuk mempersoalkan pengadil Sam Barrott.

“Keputusan VAR sama seperti perlawanan sebelum ini. Ia berlaku lagi, dan kami perlu terima,” katanya.

Kekalahan keempat City musim ini menyaksikan mereka kekal di tangga ketiga, empat mata di belakang pendahulu Arsenal.