Anak ditahan pukul bertubi-tubi ibu berumur 92 tahun

Iklan
Wanita warga emas yang ditekan anaknya atas lantai selepas bergaduh perkara remeh. - Agensi

JIANGSU - Seorang lelaki di wilayah Jiangsu, China ditahan selepas video tular memaparkan dia memukul ibu kandungnya yang berusia 92 tahun.

Insiden pada 10 November itu menunjukkan suspek berjalan mengelilingi meja sambil memegang telefon di satu tangan, manakala tangan satu lagi digunakan untuk menampar ibunya sambil menarik rambut serta menggoncangnya dengan kuat.

Iklan
Iklan

Mangsa yang uzur tidak mampu mengelak dan kedengaran menangis kesakitan.

Dalam satu lagi rakaman, lelaki itu menolak ibunya ke lantai sebelum menindih tubuh wanita berkenaan.

Iklan

Pihak berkuasa memaklumkan, pegawai polis dikerah ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan pada jam 6.15 petang (waktu tempatan).

Siasatan mendapati, suspek merupakan lelaki berusia 55 tahun bernama Yang dilaporkan menyerang ibunya selepas bertengkar tentang perkara remeh.

Iklan

Suspek kini ditahan reman, manakala kes sedang disiasat lanjut.

Menurut polis, mangsa dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan, sebelum dijaga oleh ahli keluarga lain.

Pihak berkuasa tempatan turut melawat keluarga itu bagi menyalurkan bantuan.

Menurut laporan Red Star News, jiran memaklumkan mereka pernah mendengar pertengkaran antara ibu dan anak tersebut.

Wanita warga emas itu mempunyai empat anak perempuan dan seorang anak lelaki, dengan Yang merupakan anak bongsu dalam keluarga tersebut,

Jirannya berkata, anak-anak perempuan mangsa sering datang menghantar makanan.

Selepas Yang ditahan, mereka percaya wanita itu kini dijaga oleh anak-anak perempuannya. - Agensi