Wanita pinjam ah long diugut caj bunga palsu, empat ditahan

Iklan
Orang ramai diingatkan sentiasa berhati-hati dengan tawaran pinjaman dalam talian yang sering dijadikan umpan oleh sindiket ah long.

KUALA LUMPUR – Taktik licik ah long mengenakan caj bunga palsu sebelum mengugut mangsa terbongkar selepas polis menahan empat lelaki tempatan dalam serbuan di ibu negara baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, tangkapan dilakukan selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 45 tahun yang mendakwa menjadi mangsa gangguan pemberi pinjaman wang tanpa lesen dalam talian.

Iklan
Iklan

"Siasatan mendapati mangsa yang juga seorang pengarah syarikat swasta tertarik dengan tawaran pinjaman wang menerusi satu iklan di Facebook sekitar Ogos lalu.

"Mangsa kemudian berhubung dengan suspek melalui WhatsApp sebelum diarahkan membuat beberapa bayaran kononnya bagi tujuan kelulusan pinjaman.

Iklan

"Taktik sindiket mula terbongkar apabila mangsa dimaklumkan kononnya dia telah terlewat membuat bayaran sebelum dikenakan caj bunga tambahan walaupun pembayaran awal sudah dibuat," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, kengganan mangsa membayar caj tersebut mendorong sindiket mengganggunya secara berterusan melalui mesej ugutan bagi menakut-nakutkan mangsa.

Iklan

Chang Hook berkata, susulan laporan itu, polis menahan empat lelaki tempatan berusia antara 35 hingga 47 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan berkenaan.

"Semakan lanjut mendapati kesemua suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan jenayah.

"Dua daripada mereka mempunyai 17 rekod, seorang lagi 19 rekod manakala seorang mempunyai lapan rekod jenayah di daerah dan kontinjen lain," katanya.

Menurutnya kesemua suspek kini direman untuk membantu siasatan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

"Bahagian Siasatan Jenayah Komersil telah membuka kertas siasatan di bawahh Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.

"Orang ramai diingatkan sentiasa berhati-hati dengan tawaran pinjaman dalam talian yang sering dijadikan umpan oleh sindiket ah long," katanya.

Tambahnya, orang ramai turut dinasihatkan menyemak dahulu dengan pihak sepatutnya dan jangan mudah terpedaya serta digalakkan mengikuti maklumat terkini di media sosial rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman.