Bachok daerah pertama di Kelantan dilanda banjir

Iklan
Bachok menjadi daerah pertama di Kelantan yang dilanda banjir pada Monsun Timur Laut (MTL) kali ini selepas hujan berterusan sejak dua hari lalu. Foto APM

BACHOK - Bachok menjadi daerah pertama di Kelantan yang dilanda banjir pada Monsun Timur Laut (MTL) kali ini selepas hujan berterusan sejak dua hari lalu memaksa penduduk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Pauh Sembilan pada Jumaat.

Seramai 38 mangsa daripada 11 keluarga dari Taman Budi di sini menjadi kumpulan pertama dipindahkan oleh anggota keselamatan ke PPS bermula kira-kira jam 10 malam selepas kawasan penempatan mereka dinaiki air setinggi 0.5 meter.

Iklan
Iklan

Jumlah itu terus meningkat menjelang tengah hari, apabila pihak berkuasa mengesahkan 43 mangsa daripada 12 keluarga kini ditempatkan di PPS berkenaan.

Pengerusi Pengurusan Bencana Jajahan Bachok, Mohd Zaki Yusoff berkata, kawasan Taman Budi terbabit antara hotspot banjir yang sering menjadi tumpuan khusus setiap kali MTL melanda.

Iklan

Beliau berkata, operasi penyelamatan berjalan lancar berikutan Pengurusan Bencana Peringkat Jajahan (PPOB) Bachok berada dalam tahap kesiapsiagaan tinggi sepanjang MTL.

“Kami sudah beberapa kali melaksanakan simulasi banjir dan operasi PPS menjadikan pemindahan mangsa bermula malam tadi hingga pagi ini berjalan lancar.

Iklan

“Mangsa di PPS akan dapat makan tiga kali sehari mengikut prosedur operasi PPS bermula sarapan, makan tengah hari dan makan malam pada jam 6 petang,” katanya selepas melawat mangsa banjir di PPS berkenaan.

Mangsa-mangsa banjir bersedia dipindahkan. FOTO APM

Beliau menjelaskan, untuk musim banjir 2025–2026, sebanyak 22 PPS diluluskan dalam Mesyuarat Pengurusan Bencana Peringkat Jajahan Bachok dan PPS SK Pauh Sembilan menjadi lokasi pertama diaktifkan.

Sementara itu Mohd Zaki berkata, hari pertama penempatan mangsa dikategorikan sebagai tempoh bertenang, manakala aktiviti pemulihan emosi dan sokongan psikososial akan dilaksanakan oleh kaunselor Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sekiranya mangsa masih berada di PPS pada hari berikutnya.

Dalam pada itu, katanya, operasi melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Pejabat Tanah dan Jajahan Bachok, Angkatan Pertahanan Awam, polis, tentera, Kementerian Kesihatan, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan.

“Operasi berjalan lancar melalui pemindahan menggunakan kenderaan pacuan empat roda serta lori polis,” katanya.