SHAH ALAM– [DIKEMAS KINI] Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran mengenai ribut petir, hujan lebat serta angin kencang yang dijangka melanda tujuh negeri dan dua Wilayah Persekutuan (WP) sehingga jam 7 malam ini.
Menurut kenyataan rasmi, negeri-negeri yang terlibat adalah Perak, Terengganu, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Sarawak dan Sabah, selain seluruh WP Kuala Lumpur dan WP Putrajaya.
Iklan
Iklan
Di Perak, daerah Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim dijangka mengalami hujan lebat. Terengganu pula membabitkan daerah Dungun dan Kemaman. Sementara itu, beberapa kawasan di Pahang termasuk Bentong, Temerloh dan Bera turut diramal hujan lebat.
Di Selangor, amaran ini melibatkan Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Sepang. Negeri Sembilan hanya melibatkan daerah Jelebu. Di Sarawak, kawasan terlibat ialah Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Sibu (Kanowit dan Selangau), Mukah (Matu, Dalat dan Mukah), Kapit (Song dan Kapit) serta Bintulu (Tatau). Bagi Sabah, amaran meliputi Pedalaman (Sipitang, Tenom, Beaufort dan Nabawan), Pantai Barat (Papar, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud), Tawau, Sandakan serta Kudat.
MetMalaysia menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap perubahan cuaca secara tiba-tiba dan memastikan keselamatan diri serta keluarga. Aktiviti di luar rumah sebaiknya dielakkan, manakala maklumat terkini mengenai keadaan cuaca boleh diperoleh melalui saluran rasmi MetMalaysia.
Langkah berjaga-jaga ini penting bagi mengurangkan risiko sebarang insiden tidak diingini akibat cuaca buruk yang diramalkan melanda kawasan-kawasan berkenaan.
Artikel Berkaitan