BALING - Empat buah bilik darjah dan satu ruang pejabat Sekolah Kebangsaan (SK) Baling dilaporkan terbakar pada Jumaat.
Bagaimanapun, tiada mangsa terlibat dalam insiden berkenaan susulan tiada sesi persekolahan.
Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pengusaha Bomba Kanan II, Mohd Faizal Sulaiman berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 10.46 pagi memaklumkan kejadian yang membabitkan bangunan dua tingkat di sekolah tersebut.
Menurutnya, pihak bomba terpaksa berdepan cabaran semasa operasi pemadaman dilakukan memandangkan masih terdapat arus elektrik mengalir.
"Cabaran utama adalah terpaksa berdepan arus elektrik di mana terdapat percikan api dan juga faktor angin yang menyebabkan api marak dengan cepat," katanya.
Mohd Faizal berkata, siasatan awal mendapati, kemusnahan membabitkan 32 peratus dari keseluruhan blok yang terbakar.
"Blok ini ada empat kelas di tingkat atas dan lima kelas di tingkat bawah tetapi kelas di tingkat bawah tidak terjejas.
"Kita percaya kebakaran bermula dari pejabat sekolah," katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati terdapat seorang kakitangan bertugas di sekolah ketika itu dan merupakan saksi kejadian.
"Punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan," tambahnya.