BANK Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) meraih dua anugerah antarabangsa pada majlis Islamic Retail Banking Awards (IRBA) 2025 yang berlangsung di Karachi, Pakistan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Khairul Kamarudin berkata, bank itu menerima IRBA Excellence Award for Islamic Retail Banking 2025 dan Best Islamic Retail Bank for Social Finance Initiatives 2025.
“Pengiktirafan tersebut sekali gus mengukuhkan kedudukan Bank Muamalat sebagai institusi perbankan Islam penuh yang dipercayai dan inovatif dalam memperkasa pertumbuhan inklusif serta pembangunan komuniti.
“Pencapaian Bank Muamalat dalam segmen perbankan runcit mencerminkan tumpuan mempertingkat pengalaman pelanggan, memperluas akses digital dan memperkukuh inklusiviti kewangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Kedua-dua anugerah tersebut telah diterima bagi pihak Bank oleh Pengarah Perbankan Runcit Bank Muamalat, Mohamad Zalman Jalil.
Anugerah IRBA yang dianjurkan oleh Cambridge Institute of Islamic Finance (Cambridge IFA) dari United Kingdom bertujuan menghargai institusi yang menyerlah dalam kecemerlangan, inovasi dan kepimpinan dalam perbankan Islam runcit.
Pemenang telah dipilih berdasarkan penilaian global ke atas lebih 130 bank Islam melalui model penanda aras eksklusif yang dibangunkan dengan kerjasama Hamdan Mohammed Smart University, Dubai.
Khairul berkata, selaras dengan visi bank untuk mencipta ‘Kehidupan Lebih Baik, Bersama’, strategi runcit Bank Muamalat terus memberi tumpuan kepada penyelesaian patuh Syariah berorientasikan pelanggan bagi memenuhi keperluan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“Pengiktirafan dalam bidang kewangan sosial turut menonjolkan komitmen Bank Muamalat terhadap usaha memperkasa komuniti melalui inisiatif seperti iTEKAD, Wakaf Muamalat dan Jariah Fund.
“Program-program ini membantu usahawan mikro dan golongan rentan melalui akses pembiayaan, bimbingan perniagaan dan peluang mobiliti sosial yang sejajar dengan kesejahteraan ekonomi masyarakat,” ujarnya.
Tambahnya, pengiktirafan itu mencerminkan komitmen Bank Muamalat terhadap kecemerlangan dan inovasi dalam perbankan Islam runcit.
“Pengiktirafan ini mengukuhkan keyakinan bahawa perbankan Islam bukan sahaja memacu pertumbuhan malah turut mewujudkan impak bermakna kepada masyarakat. Kami amat berbesar hati dengan pencapaian dalam bidang kewangan sosial,” katanya.
Beliau berkata, Islamic Retail Banking Awards kini memasuki tahun ke-11 dan menjadi platform global yang meraikan kecemerlangan institusi kewangan Islam di rantau Asia, Afrika serta wilayah lain.
“Majlis anugerah ini diadakan bersempena dengan Islamic Retail Banking Summit yang menghimpunkan pemimpin dan pakar industri dari seluruh dunia untuk membincangkan inovasi, kelestarian dan hala tuju masa depan kewangan Islam,” jelasnya.