Kerajaan Selangor pantau laporan kecelaruan seksual dalam kalangan pelajar

Iklan
Amirudin semasa menjawab pertanyaan pada Sidang DUN Selangor pada Jumaat.

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor tidak menolak kemungkinan wujudnya laporan berkaitan kecelaruan seksual membabitkan pelajar sekolah di negeri itu, susulan kebimbangan semakin meningkat terhadap pengaruh buruk kandungan digital tanpa kawalan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, walaupun isu itu bukan perkara baharu, lambakan kandungan tidak bermoral di media sosial menyebabkan pengaruh negatif merebak jauh lebih pantas berbanding dahulu.

Iklan
Iklan

"Jika dahulu ia hanya merebak melalui individu atau kumpulan tertentu, kini ia bergerak dengan lebih pantas menerusi media sosial yang tidak ada batasan," katanya ketika menjawab pertanyaan tambahan Mohd Shafie Ngah (PN–Sungai Ramal) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Jumaat.

Mohd Shafie sebelum itu mengajukan soalan mengenai langkah kerajaan negeri dalam mengawal disiplin dan gejala negatif di sekolah agama, selain memaklumkan terdapat data menunjukkan kewujudan gejala seksual menyimpang serta kecenderungan homoseksual dalam kalangan pelajar.

Iklan

Menurut Amirudin, keadaan menjadi lebih berisiko di sekolah menempatkan pelajar daripada satu gender sahaja terutama apabila mereka terdedah kepada kandungan digital tanpa kawalan.

"Masalah ini merebak lebih pantas kerana ia bergerak melalui platform sosial yang tidak mempunyai batasan," jelasnya.

Iklan

Beliau berkata, kerajaan negeri akan meneliti kaedah dan metodologi yang dicadangkan untuk mengumpul data berkaitan minda, kecerdasan dan kesejahteraan pelajar sebagai usaha pencegahan awal.

Amirudin turut menegaskan keperluan kerjasama ibu bapa, sekolah dan agensi berkaitan bagi memastikan penggunaan peranti digital dipantau dengan lebih ketat bagi mengelakkan gejala tidak diingini

Menjawab pertanyaan tambahan Muhammad Muhaimin Abdullah Sani (PN–Batang Kali) mengenai kesan media sosial dan penggunaan peranti digital yang didakwa mendorong 'kebisuan digital', Amirudin berkata, perkara itu turut diberi perhatian serius.

Beliau berkata, permainan digital dan penggunaan peranti tanpa kawalan di media sosial kini menjadi antara faktor mempengaruhi tingkah laku, emosi dan kecerdasan pelajar.

Amirudin memaklumkan, trend itu selari dengan dapatan global termasuk buku The Anxious Generation oleh Jonathan Haidt yang menekankan kewujudan 'generasi cemas' akibat pendedahan digital melampau.

Menurutnya, kerajaan Persekutuan juga sedang meneliti pelaksanaan had penggunaan media sosial seperti model di Australia, berikutan peningkatan kes melibatkan pengaruh permainan video, perubahan tingkah laku dan isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar.

"Terdapat teori menunjukkan kes terbaru berlaku akibat pengaruh permainan yang membentuk karakter dan tingkah laku.

"Banyak kajian membuktikan kesan jelas terhadap emosi, pembulian, depresi dan kecenderungan agresif," katanya.