INDIA - Seorang wanita yang menyamar sebagai pelanggan cuba merompak sebuah kedai barang kemas di Ranip, Ahmedabad, namun gagal selepas tindakannya berjaya dipatahkan pemilik kedai, lapor Times of India.
Insiden yang berlaku pada 6 November itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) apabila wanita terbabit dilihat memasuki kedai emas dan perak berhampiran pasar sayur-sayuran Ranip dan berpura-pura bertanyakan perhiasan.
Tidak lama kemudian, suspek tiba-tiba membaling serbuk cili ke arah pemilik kedai dengan niat membutakan mangsa bagi memudahkan rompakan.
Namun, serbuk itu tidak terkena mata lelaki berkenaan.
Pemilik kedai bertindak balas pantas dengan melompat keluar dari kaunter sebelum beberapa kali memukul suspek dan mengheretnya keluar dari premis.
Menurut laporan sama, keberanian pemilik kedai itu berjaya menggagalkan cubaan rompakan tersebut tanpa kerugian dilaporkan.
Sementara itu, Inspektor Polis Ranip, Ketan Vyas berkata, pihaknya telah meneliti rakaman CCTV dan cuba meyakinkan pemilik kedai untuk membuat laporan, namun lelaki itu enggan.
“Walaupun tiada laporan dibuat, kami tetap menjalankan siasatan dan sedang mengesan wanita terbabit,” katanya.
Pihak polis juga sedang menyiasat kemungkinan wanita itu terlibat dalam kejadian serupa sebelum ini.