40,000 peluang kerja maritim menanti lima tahun lagi

Iklan
Sebahagian pelajar yang hadir melawat reruai pada Majlis Pemasyhuran Politeknik MARITIM Sultan Nazrin Shah pada Khamis.- Foto Bernama

BAGAN DATUK - Sektor maritim negara dijangka mewujudkan lebih 40,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, unjuran itu selari dengan kebangkitan semula sektor maritim dunia yang direkodkan berkembang pada kadar 4.7 peratus setahun.

Iklan
Iklan

Menurutnya, lebih 80 peratus perdagangan dunia melalui laluan laut, sekali gus menjadikan Malaysia yang memiliki garis pantai sepanjang 4,500 kilometer dan berada di pintu masuk Selat Melaka sebagai antara negara paling strategik dalam rangkaian logistik global.

"Sektor maritim negara sedang memasuki fasa kebangkitan baharu. Industri ini merangkumi kejuruteraan kapal, teknologi marin, automasi perkapalan, logistik pelabuhan, penyelenggaraan dan kelestarian laut. Semuanya menuntut kepakaran teknikal tinggi dan inovasi berterusan.

Iklan

“Peluang ini membuka ruang luas kepada graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk menembusi pasaran pekerjaan global,” katanya dalam sembah ucapan Majlis Pemasyhuran Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah (PMSN) di sini pada Khamis.

Pemasyhuran disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Iklan

Zambry berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi komited memperkukuh kurikulum berasaskan industri, memperluas jaringan global dan menyediakan fasiliti bertaraf dunia bagi memastikan graduan berada pada tahap terbaik untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Katanya, ketika ini politeknik dan kolej komuniti kekal sebagai tunjang utama ekosistem pendidikan tinggi negara, khususnya dalam memperkasa agenda TVET sebagai pemacu pembangunan sosioekonomi masa depan.

"Keupayaan institusi TVET melahirkan tenaga separa profesional telah lama menjadi tulang belakang pelbagai sektor teknikal. Kini ia semakin menyerlah dalam sektor maritim yang memerlukan kepakaran khusus," katanya.

Pengambilan pelajar sulung pada 2017 melalui program Diploma Seni Bina Kapal menjadikan Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah satu-satunya politeknik TVET negara yang memberi tumpuan khusus terhadap bidang maritim dan perkapalan.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, graduan TVET dalam bidang maritim akan menjadi tonggak penting dalam membentuk masa depan industri pelabuhan, perkapalan, logistik dan tenaga laut.

Pengerusi Majlis TVET Negara itu berkata, sektor maritim membuka peluang kepada anak muda menguasai kemahiran kejuruteraan mekanikal marin, elektrikal marin, automasi kapal, penyelidikan tenaga laut boleh diperbaharui, selain meningkatkan keselamatan dan kecekapan operasi maritim negara.

"Usaha ini dapat melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam TVET maritim, selaras dengan agenda Ekonomi MADANI dan Dasar Pengangkutan Negara 2030 yang meletakkan sektor maritim sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi masa depan,” katanya.