BUKIT MERTAJAM - Dua lelaki maut selepas kereta Toyota Estima yang dinaiki mereka merempuh belakang sebuah lori membawa muatan buah-buahan di Kilometer 141.5 Lebuhraya Utara-Selatan, berhampiran Hentian Rehat & Rawat Juru di sini pada malam Rabu.
Dalam kejadian jam 11.22 malam itu, kedua-dua mangsa, Mohamad Nizar Abdul Rahman, 32, dan rakannya, Muhammad Fakhrur Razi Usri, 31, dilaporkan tersepit di bahagian hadapan kenderaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat kejadian daripada orang awam.
"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi, didapati benar berlaku kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Estima dan sebuah lori membawa muatan buah-buahan.
"Terdapat dua mangsa lelaki dalam kereta berkenaan yang tersepit, manakala pemandu lori tidak cedera," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Mohamad Nizar berkata, anggota bomba menjalankan kerja penyelamatan menggunakan peralatan khas sebelum kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 11.56 malam.
Katanya, pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tiba di lokasi mengesahkan kedua-dua mangsa telah meninggal dunia.
"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
"Pemandu lori, Ismail Che Dat, 37, tidak mengalami sebarang kecederaan,"katanya lagi