SPRM, Polis Selangor terus perkukuh hubungan strategik

Iklan
Mohd Azwan (tengah) hadir membuat kunjungan hormat kepada Shazeli (dua dari kiri) di IPK Selangor pada Rabu. Foto: SPRM

SHAH ALAM - Aspek perkongsian maklumat, pemantapan operasi bersama serta pelaksanaan program pendidikan integriti antara perkara yang dibincangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor bersama Polis Selangor pada Rabu.

Perbincangan dua hala itu dilangsungkan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menerusi kunjung hormat Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli kepada Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar.

Iklan
Iklan

SPRM dalam kenyataan berkata, kunjungan ini bertujuan memperkukuhkan hubungan kerjasama strategik di antara Polis Selangor dan SPRM Selangor, khususnya dalam usaha memantapkan integriti, meningkatkan kecekapan tadbir urus serta mempertingkatkan keberkesanan tindakan pencegahan rasuah dalam perkhidmatan awam di negeri ini.

"Perbincangan dua hala turut memberi tumpuan kepada aspek perkongsian maklumat, pemantapan operasi bersama serta pelaksanaan program pendidikan integriti dan anti-rasuah.

Iklan

"Ini sejajar dengan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Selangor untuk memastikan tahap integriti pasukan keselamatan sentiasa berada pada tahap tertinggi," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tambah kenyataan itu, SPRM Selangor merakamkan penghargaan kepada Ketua Polis Selangor dan pasukan PDRM atas komitmen berterusan dalam menjalin kerjasama strategik.

Iklan

Jelasnya, perbincangan ini diharapkan menjadi asas kepada kolaborasi lebih kukuh demi mempertingkat integriti dan ketelusan dalam perkhidmatan awam serta keselamatan Negeri Selangor.

Turut hadir dalam pertemuan ini ialah Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Mohd Zaini Abu Hassan, pegawai kanan Polis Selangor dan SPRM Selangor.