JOHOR BAHRU - Video memaparkan tangisan seorang bayi perempuan berusia enam bulan, Nur Laylaa Batrysha Muhammad Lokmanorhakim, yang kehilangan kedua ibu bapanya dalam kemalangan, mengundang rasa hiba dalam kalangan pengguna media sosial.
Rakaman dimuat naik seorang wanita menerusi akaun TikTok Hot Latte itu menunjukkan bayi berkenaan merengek dalam dakapan ahli keluarga yang cuba menenangkannya.
Setakat ini, video berkenaan meraih lebih 58,000 tanda suka dan lebih 2,000 komen, kebanyakannya meluahkan simpati serta menitipkan doa buat bayi tersebut.
Menurut kapsyen yang dimuat naik, wanita itu berdoa agar Nur Laylaa Batrysha dibesarkan dengan penuh kasih sayang meskipun ditimpa ujian berat pada usia yang terlalu muda.
"Dalam sekelip mata, Baby Layla jadi anak yatim piatu... ibu dan ayahnya pergi dijemput Ilahi selepas kemalangan.
"Hanya ALLAH tahu peritnya ujian ini untuk si kecil, moga hidupnya terus dalam rahmat dan kasih sayang," tulis wanita itu.
Ruangan komen turut dibanjiri doa serta kata-kata penguat semangat daripada warganet yang tersentuh dengan nasib ditanggung bayi itu.
"Untuk adik Layla, Abi dan Ummi sayang adik Layla walaupun kita tak pernah kenal dan jumpa. Abi dan Ummi sentiasa doakan adik Layla lekas sembuh, dikelilingi orang baik, dilimpahkan segala rezeki. Adik Layla jangan nangis-nangis, sedih-sedih tau.
"Adik Layla kan kuat. Ibu ayah tengah tunggu adik Layla di depan pintu syurga. Abi dan Ummi sentiasa doakan adik Layla berjaya dunia akhirat," tulis @Cikgu_Ajiq
Sebelum ini, pada Ahad, sepasang suami isteri dilaporkan maut manakala bayi mereka cedera selepas kereta Perodua Myvi dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 54.5, Jalan Sungai Rengit–Kota Tinggi.
Pemandu, Muhamad Lokmanorhakim Mokhtar, 24, dan isterinya, Nur Fatihah Othman, 28, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala, manakala bayi mereka yang berada di kerusi keselamatan kanak-kanak di bahagian belakang mengalami kecederaan pada kepala.