[VIDEO] Wanita maut dilanggar lori ketika tukar tayar pancit

Iklan

SEREMBAN - Seorang wanita yang sedang menukar tayar kenderaan utiliti sukan (SUV) miliknya maut selepas dipercayai dilanggar sebuah lori kontena di Kilometer 260.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di sini pada Rabu.

Kejadian jam 9.20 pagi itu berlaku ketika mangsa, Nurul Amirah Hamdan, 31, yang bekerja di sebuah syarikat penapis air dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Senawang.

Iklan
Iklan

Rakan sekerja mangsa, Nur Affiqah Jamran, 30, berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas dihubungi rakan serumah mangsa.

Mangsa mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Iklan

"Kami sepatutnya mesyuarat dengan arwah pagi ini, tapi pelik juga tengok dia tak sampai lagi ke pejabat sehinggalah saya dihubungi rakan serumahnya memberitahu dia kemalangan.

"Saya dan seorang rakan sekerja bergegas ke lokasi, namun sebaik sampai dia sudah meninggal dunia dan mayatnya telah ditutup dengan kain putih," katanya ditemui Sinar Harian di lokasi pada Rabu.

Iklan

Menurutnya, paling menyedihkan arwah kemalangan ketika mahu menukar tayarnya yang pancit.

Tambahnya, Allahyarham disifatkan seorang rakan yang baik dan mudah mesra dengan kawan-kawan.

Nur Affiqah

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahman berkata, ketika kejadian, mangsa menaiki kereta jenis Proton X50, namun berhenti di lorong kecemasan selepas menyedari tayar belakang sebelah kanan pancit.

"Semasa sedang menukar tayar, datang sebuah lori kontena dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun di lorong kiri telah bergesel dengan mangsa.

"Akibatnya, mangsa mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayatnya telah dibawa ke Hospital Rembau untuk tindakan lanjut," katanya.

Mangsa dipercayai dilanggar semasa menukar tayar sebelah kanan kenderaannya yang pancit.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Nor Fadzilah Mohd Zainuddin di talian 019-4611794 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.