BANGSAR – Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menganjurkan Wakalah Talk 2025 sekali gus melancarkan aplikasi My Wakalah 2.0, versi yang ditambah baik dan lebih mesra pengguna.
Program selama dua hari sehingga Khamis itu diadakan bagi memfokuskan pemahaman menyeluruh mengenai konsep, tatacara dan garis panduan agihan wakalah di samping menekankan kepentingan laporan agihan yang telus serta berakauntabiliti.
Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, penganjuran program tersebut yang kini memasuki tahun keempat membuktikan konsistensi pihaknya dalam menyampaikan pencerahan kepada pembayar zakat dan pemegang wakalah mengenai pelaksanaan Dasar Pengembalian Semula Wang Zakat atau Skim Wakalah.
Beliau turut memaklumkan bahawa jumlah agihan wakalah setakat Januari hingga Oktober 2025 sebanyak RM239 juta, meningkat 32 peratus berbanding agihan dalam tempoh sama tahun lalu.
“Skim Wakalah bukan sekadar mekanisme pengagihan zakat, ia juga membuka ruang buat setiap pembayar untuk turut serta bagi memastikan dana zakat mereka sampai kepada golongan yang memerlukan.
“Sebagai agensi kerajaan, PPZ-MAIWP komited membawa agenda Malaysia Madani berteraskan kasih sayang dan rahmah.
“Dengan kekuatan dana zakat, usaha membantu serta memperkasa asnaf akan terus diperkukuh di Wilayah Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis perasmian Wakalah Talk dan pelancaran My Wakalah 2.0 yang diadakan di Wyndham Grand di sini pada Rabu.
Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fawwaz Fadzil turut hadir sebagai jemputan untuk menyampaikan tausiah mengenai wakalah zakat.
Dengan penyertaan lebih 400 peserta termasuk individu, majikan, syarikat dan institusi pengajian tinggi, program itu turut menyediakan pengisian khusus berkaitan produk serta perkhidmatan bayaran zakat dan wakaf PPZ-MAIWP.
Peserta juga diberi penerangan tentang konsep agihan wakalah zakat yang dibenarkan oleh MAIWP.
Amrin turut menyampaikan sijil penyertaan kepada empat peserta mewakili setiap kategori iaitu individu, syarikat, majikan dan institusi pengajian tinggi (IPT), disusuli simbolik penyerahan Kad Setia Pusrawi buat pembayar zakat melebihi RM10,000 untuk tahun semasa.
My Wakalah 2.0 Versi Mesra Pengguna
Menerusi majlis tersebut, PPZ-MAIWP turut memperkenalkan versi terkini My Wakalah 2.0 yang berfungsi sebagai pusat hentian utama bagi memudahkan pemegang wakalah menguruskan permohonan, agihan dan semakan.
Jelas Amrin, versi yang ditambah baik itu amat membantu memudahkan pengurusan wakalah secara digital serta mengurangkan kebergantungan terhadap proses manual melalui sistem pintar yang berintegrasi dengan pangkalan data dalaman PPZ-MAIWP.
“Semua transaksi, laporan serta data wakalah kini dapat diakses secara telus dan tepat. Urusan wakalah mereka menjadi lebih efisien dan berintegriti.
“Dengan penerapan teknologi canggih dan sistem pengurusan tersusun, saya yakin urusan zakat negara dapat dijalankan lebih berkesan demi memastikan keberkatan serta amanah zakat buat kesejahteraan umat.
“Mewakili MAIWP dan PPZ-MAIWP, saya berterima kasih kepada pembayar zakat di Wilayah Persekutuan. Tanpa komitmen semua, program dan inisiatif ini tidak dapat dilaksanakan dengan penuh berkesan,” ujar Amrin lagi.