Penerimaan rakyat Sabah terhadap PH amat positif - Nurul Izzah

Iklan
Nurul Izzah. Foto Bernama

PENAMPANG - Penerimaan rakyat Sabah terhadap Pakatan Harapan (PH) serta calon parti itu yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dilihat sangat positif, kata Timbalan Presiden, PKR Nurul Izzah Anwar.

Beliau berkata, kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sabah minggu lepas, serta memberikan keutamaan kepada pengiktirafan ekonomi negeri sebelum kempen pilihan raya bermula, antara faktor yang membawa reaksi positif penduduk.

Iklan
Iklan

Menyifatkan kebanyakan rakyat di Negeri Di Bawah Bayu sebagai amat peramah, Nurul Izzah berkata, ia seterusnya mencerminkan keterbukaan rakyat untuk menilai tawaran PH semasa berkempen dengan berdasarkan fakta dan rekod pelaksanaan setakat ini.

"Kami minta supaya pilihan (pengundi) berasaskan fakta dan saya amat bersyukur dengan respons yang sangat positif,” katanya kepada pemberita semasa mengadakan Tinjauan Mesra Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog di Pasar Tamu Donggongon di sini pada Rabu, yang turut disertai calon PH Remysta Jimmy Taylor.

Iklan

Nurul Izzah yang juga Pengarah Bersama Kempen Pilihan Raya PKR berkata, komitmen dan khidmat parti kepada rakyat tidak terhenti selepas tamat kempen.

"Selepas berkempen dan hari mengundi, ialah bagaimana mereka boleh memberikan khidmat dan cuba menyelesaikan masalah (rakyat) dalam jangka pendek, pertengahan dan panjang kerana kita tahu, bukan semua boleh diselesaikan 24 jam,” katanya.

Iklan

Pada kunjungan itu, Nurul Izzah yang meluangkan masa lebih sejam disambut mesra peniaga dan pengunjung pasar yang tidak melepaskan peluang bergambar serta merakam video sebagai kenangan.

Peniaga dan pengunjung juga tidak ketinggalan menyanyikan lagu"Selamat Hari Jadi” untuk meraikan ulang tahun kelahiran Nurul Izzah pada Rabu.

Hari pengundian PRN Sabah ke-17 ditetapkan pada 29 November manakala undi awal pada 25 November.

Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 1,784,843 pengundi layak menjalankan tanggungjawab mereka pada PRN kali ini terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis dengan pasangan. - Bernama