JOHOR BAHRU - Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail memberi bayangan bahawa sesuatu yang besar bakal berlaku dalam arena sukan di negeri itu.
Menerusi hantaran di media sosial baginda bertitah, perkara tersebut bakal menjadi titik perubahan penting terutamanya dalam beberapa bulan akan datang.
“Tiga juara dunia. Lelaki sejati, lelaki dengan prinsip dan nilai.
“Bermula hari ini, banyak perkara akan berubah terutama dalam beberapa bulan mendatang.
"Ketika peningkatan bertemu kehebatan. Ini takdir, Alhamdulillah," katanya pada Selasa.
Baginda turut memuat naik gambar bersama tiga ikon sukan dunia iaitu bekas juara dunia UFC, Khabib Nurmagomedov; bekas pemain ragbi New Zealand yang kini menceburi sukan tinju, Sonny Bill Williams dan bekas juara MMA, Soa 'The Hulk' Palelei dari Australia.
Bagaimanapun, baginda tidak memperincikan perubahan yang dimaksudkan.
Hantaran itu menarik perhatian ramai penyokong sukan di Johor termasuk pengikutnya di media sosial.