Tingkat persediaan hadapi banjir, jaga kebajikan mangsa - Sultan Pahang

Iklan
Al-Sultan Abdullah mendengar persembahan taklimat Monsun Timur Laut 2025/2025 di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) di sini pada Selasa. Foto FB Kesultanan Pahang.

KUANTAN - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan semua pihak di negeri ini meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi musim banjir yang dijangka berlaku dalam tempoh terdekat.

Baginda bertitah, persediaan rapi perlu dilakukan segera oleh semua agensi dan jabatan berkaitan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan penduduk di kawasan berisiko tinggi sentiasa terjamin.

Iklan
Iklan

Tegas baginda, semua pihak juga hendak mengambil langkah bersungguh-sungguh dalam membuat persediaan awal kerana musibah banjir memerlukan kerjasama semua.

"Saya juga mahu kebajikan mangsa banjir dipelihara, termasuk aspek penyediaan makanan yang bersih, sihat dan baik kualitinya di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Iklan

"Kebersihan tandas di PPS juga hendaklah sentiasa dijaga dan diselenggara dengan baik bagi mengelak penularan penyakit berjangkit selain memastikan pengguna diberi panduan tentang cara penggunaan kemudahan tersebut," titah baginda dalam satu hantaran di Facebook rasmi kesultanan Pahang pada Selasa.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian selepas persembahan taklimat Monsun Timur Laut 2025/2025 di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) di sini pada Selasa.

Iklan

Dalam titah yang sama, baginda bertitah agar maklumat berkaitan air pasang, hujan lebat berterusan dan sebarang situasi yang boleh mengundang risiko banjir hendaklah dihebahkan kepada rakyat.

Titah baginda, ini membolehkan rakyat membuat persediaan awal, terutama mereka yang tinggal di kawasan banjir.

Selain itu, Al-Sultan Abdullah menyarankan agar kerajaan Nnegeri mempertimbangkan pembinaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) secara kekal melalui penambahbaikan dewan sedia ada

Baginda bertitah, langkah ini akan memberi manfaat jangka panjang serta menjimatkan kos pengurusan pada masa hadapan.

Al-Sultan Abdullah turut menyeru Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mempergiat kerja-kerja pembersihan, khususnya saliran dan sistem perparitan bagi memastikan aliran air tidak tersumbat ketika hujan lebat.

Di samping itu, baginda menitahkan supaya semua masjid dan surau di Pahang melaksanakan solat hajat tolak bala, memohon perlindungan ALLAH SWT agar Pahang dijauhkan daripada bencana banjir.

"Peringatan ini merupakan tanggungjawab bersama dan ia memerlukan komitmen tinggi semua pihak bagi memastikan rakyat yang berdepan musibah sentiasa dibantu serta dilindungi dengan sebaiknya," titah baginda.