MCMC perlu halang telco caj perlindungan scam

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai MCMC diarah dapatkan penjelasan lanjut mengenai caj perlindungan scam oleh telco.

SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) digesa untuk mengeluarkan arahan khas melarang sebarang caj tambahan yang dikenakan syarikat telekomunikasi (telco) untuk perkhidmatan perlindungan scam atau penipuan.

Presiden Pertubuhan Jalinan Sahabat Nusantara (JASANUSA), Samsudin Awang berkata, tindakan untuk melakukan siasatan seperti yang diarahkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, minggu lalu dilihat tidak memadai.

Iklan
Iklan

"Dalam isu ini, pengguna memerlukan tindakan segera, tegas dan perlindungan nyata, bukan sekadar penjelasan semata-mata. MCMC mempunyai kuasa untuk bertindak.

"Justeru, mereka harus berbuat demikian untuk melindungi rakyat Malaysia. Sehingga kenyataan media ini dikeluarkan, syarikat telco terlibat masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung gesaan ini," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Kementerian Komunikasi mengarahkan MCMC untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai dakwaan telco mengenakan caj sehingga RM10 sebulan sebagai pakej tambahan berbayar bagi perlindungan scam.

Samsudin berkata, tindakan telco mengenakan caj itu disifatkan tidak bertanggungjawab, seolah-olah mengambil kesempatan terhadap kesusahan rakyat.

Iklan

Tambahnya, peranan menyekat panggilan penipuan dan melindungi pengguna daripada sindiket penipuan seharusnya menjadi teras tanggungjawab setiap syarikat telco dan bukannya dijadikan produk sampingan untuk dijual.

"Ketika ini sindiket penipuan siber sudah menjadi isu keselamatan negara kerana telah mengakibatkan kerugian berbillion ringgit membabitkan ramai mangsa.

"Apabila telco mengkomersialkan perlindungan scam, ia seperti memberhentikan perkhidmatan bomba dan meminta bayaran untuk memadamkan rumah yang sedang terbakar sedangkan kerja itu adalah tanggungjawab mereka," ujarnya.